SATUN (Thailand), 13 Feb — Umat Islam diseru kembali kepada asas ajaran Al-Quran dan menghayati intipatinya sebagai kunci utama dalam mendepani pelbagai kemelut kehidupan moden masa kini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah perlu dijadikan landasan teguh dalam mencapai kejayaan yang seimbang di dunia dan akhirat.
Baginda menegaskan bahawa segala permasalahan sama ada dari sudut peribadi, sosial mahupun kedaulatan ummah telah digariskan jalan penyelesaiannya dalam kalam Allah.
“Tiada masalah yang tidak mempunyai jalan keluar sekiranya kita kembali kepada petunjuk Al-Quran. Ia adalah manual kehidupan yang lengkap bagi membimbing manusia keluar daripada kegelapan kepada cahaya kebenaran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil melawat Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Jannah, Ban Chalong di sini baru-baru ini.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan sempena aktiviti Ramadan kepada pengurusan maahad berkenaan bagi menyokong kelancaran program ibadah serta pendidikan para pelajar sepanjang bulan suci itu.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor, wakil Majlis Agama Islam Wilayah Satun serta Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs bagi Thailand Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan dan isteri, Datin Nuranee Pitisathepan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia