Hubungan Perlis–Satun Perlu Terus Diperkukuh – Raja Muda Perlis

Hubungan Perlis–Satun Perlu Terus Diperkukuh – Raja Muda Perlis

SATUN, Thailand, 13 Feb — Keakraban hubungan sejarah dan budaya antara umat negeri Perlis dan wilayah Satun, Thailand perlu terus diperkukuh demi memelihara warisan bersama yang telah sekian lama terjalin.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hubungan erat berteraskan persamaan budaya dan pegangan agama itu menjadi asas penting dalam memperkukuh solidariti masyarakat serumpun.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengetuai program Ziarah Ramadan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Madrasah Tahfiz Al-Quran Tammalang di sini baru-baru ini.

Keberangkatan pasangan diraja Perlis itu disambut meriah oleh ratusan penduduk sekitar Ban Tammalang dalam suasana penuh muhibah dan silaturrahim.

Menurut Baginda, ukhuwah yang telah terjalin sekian lama antara masyarakat di Satun dan umat Islam di Perlis perlu sentiasa dipelihara serta dilestarikan.

“Ukhuwah yang sedia terjalin ini perlu kita jaga dengan sebaik mungkin. Kita berkongsi banyak persamaan, baik dari segi budaya mahupun nilai kehidupan, dan ia harus menjadi kekuatan untuk kita terus saling menyokong antara satu sama lain,” titah Baginda.

Kunjungan berkenaan mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan Islam merentasi sempadan di samping mengukuhkan hubungan emosi masyarakat Melayu Islam di kedua-dua wilayah berjiran.

Turut mengiringi keberangkatan Baginda ialah Pegawai Istiadat Istana Arau, Dato’ Zul Aznam Haron serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Hadir sama Ketua Penyelaras Hubungan Antarabangsa MAIPs bagi Thailand, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan bersama isteri, Datin Nuranee Pitisathepan.

Dalam program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan buah kurma sempena ketibaan bulan Ramadan kepada beberapa masjid utama sekitar kawasan berkenaan, termasuk Masjid Tammalang Hilir, Masjid Tammalang Hulu, Masjid Puju dan Masjid Koh Ya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.