Hubungan Erat Adat, Agama Perkukuhkan Sistem Pemerintahan Raja Berperlembagaan – Raja Muda Perlis

Raja Berperlembagaan – Raja Muda Perlis

Adat yang diwarisi bukan sekadar simbol kebudayaan atau upacara ritual semata-mata, tetapi sebahagian daripada sistem nilai yang telah membentuk masyarakat Melayu sejak turun-temurun lagi.

Ia adalah paksi yang menyokong sistem sosial, memperkukuh hubungan rakyat dengan pemerintah, serta medium penyampaian nilai murni berlandaskan Islam.

Agama Islam pula adalah panduan kehidupan dan rujukan utama dalam segala aspek pentadbiran serta kehidupan rakyat di negara ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam bukan hanya agama rasmi, bahkan Raja merupakan Ketua Agama bagi negerinya.

ERAT DAN HARMONI

Oleh itu, hubungan yang erat dan harmoni antara adat dan juga agama akan memperkukuhkan lagi sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang kita junjung pada hari ini.

Pemerintahan menyediakan struktur perundangan, pentadbiran dan penguatkuasaan yang menjadi kerangka rasmi pelaksanaan adat dan agama dalam konteks kenegaraan moden.

Maka, sinergi yang kukuh antara ketiga-tiganya (yakni adat, agama dan pemerintahan) amat penting untuk menjamin kelangsungan identiti bangsa dan kedaulatan negeri.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar baru-baru ini.

BUKAN SEKADAR AKTIVITI

Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan satu inisiatif unik dan ikonik MAIPs yang bukan sekadar aktiviti riadah berbasikal, malah berfungsi sebagai platform dakwah serta kebajikan lapangan yang diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menyantuni umat Perlis serta menyalurkan bantuan secara terus ke kediaman golongan yang memerlukan, sekali gus memastikan kebajikan asnaf dapat diberi perhatian secara lebih berkesan dan menyeluruh.

Sempena edisi kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai usaha meringankan beban dan menjaga kebajikan golongan asnaf terpilih.

Penerima sumbangan terpilih terdiri daripada Nurluqman Hakim Rosli, 44 dari Padang Katong, Hakimi Hashim, 42 dari Jalan Padang Katong, serta Zainal Abidin Abdul Halim, 56 dari Taman Aman Fasa 3. Turut disantuni ialah mangsa kebakaran sebuah rumah.

BERKENAN MENGADAKAN LAWATAN

Dalam program sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan mengadakan lawatan ke Baan Canggung Cafe & Banquet yang terletak di Jalan Bintong Mewah 1, Kangar.

Premis berkenaan beroperasi sebagai kafe harian yang santai di samping menyediakan kemudahan dewan acara bagi penganjuran majlis perkahwinan serta keraian rasmi.

Kafe tersebut menyajikan gabungan menu masakan tempatan dan Barat dengan penekanan kepada set sarapan pagi yang menjadi pilihan ramai, selain pelbagai variasi kopi.

Menampilkan reka bentuk dalaman yang moden dan luas, Baan Canggung Cafe & Banquet menawarkan suasana bersih serta selesa, menjadikannya lokasi pilihan untuk seisi keluarga. Premis ini dibuka setiap hari dari pukul 7.30 pagi hingga 10.30 malam

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.