Dasar MAIPs Tidak Membuahkan Hasil Tanpa Pelaksanaan Berkesan – Raja Muda Perlis

Dasar MAIPs Tidak Membuahkan Hasil Tanpa Pelaksanaan Berkesan – Raja Muda Perlis

Arau – Segala dasar, cadangan atau perancangan yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak akan membuahkan hasil tanpa pemantauan rapi dan pelaksanaan yang berkesan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, matlamat akhir bagi hal tersebut adalah untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Seluruh warga MAIPs perlu sentiasa memperbaharu tekad, memiliki wawasan yang luas serta menjunjung tinggi prinsip amanah.

“Kekuatan utama MAIPs terletak pada kesepaduan antara ahli majlis, pihak pengurusan, kakitangan serta rakan strategik,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Tambun Tulang baru-baru ini.

Titah baginda lagi, sikap profesional, disiplin dan semangat kerjasama amat dituntut bagi menjamin setiap keputusan yang diambil bermanfaat kepada umat Islam di negeri itu.

Mengulas lanjut mengenai usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan, baginda bertitah bahawa MAIPs ketika ini sedang giat memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Kerjasama ini termasuk hubungan strategik dengan agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Menurut baginda, usaha kolektif ini bertujuan meluaskan lagi skop khidmat masyarakat serta memberikan impak yang lebih besar dan menyeluruh menerusi setiap program yang dilaksanakan.

Dalam rangka program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni golongan asnaf terpilih di Kampung Mua Tambun Tulang, Tambun Tulang dan Kampung Sri Gelam, selain menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada para penerima.

Selain itu, baginda turut mengadakan lawatan ke pusat penginapan percutian, D’Paddy HR Guest House sebagai manifestasi sokongan terhadap kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.