Kuala Perlis – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan sejumlah RM210,000 kepada golongan asnaf terpilih yang melibatkan sebanyak 300 orang penerima.
Penerima terdiri daripada 75 orang daripada anak kariah Seberang Ramai, 75 orang anak kariah Seberang Tok Pi, 75 orang anak kariah Padang Besar Selatan, serta 75 orang anak kariah Behor Masjid.
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, “Amalan sedekah, infak dan apa-apa jua bentuk sumbangan merupakan pelaburan akhirat yang membawa keberkatan, di samping mengukuhkan jaringan kebajikan dalam masyarakat.”
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Zakat anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai, Kuala Perlis, baru-baru ini.
Baginda menyeru agar usaha memupuk budaya memberi terus diperkasakan, sama ada dalam bentuk bantuan kewangan, kepakaran, masa mahupun tenaga.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menggalakkan semua pihak untuk terus mengamalkan infak serta menyokong usaha kebajikan.
“Pada masa yang sama, semua pihak perlu menunaikan kewajipan membayar cukai,” titah baginda.
Kedua-dua tanggungjawab ini saling melengkapi dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat setempat agar sentiasa terpelihara.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, YAM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia