26 Februari 2026. Sandakan, Sabah.Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selamat berangkat tiba di Lapangan Terbang Sandakan bagi mengetuai program tahunan Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (EKS PERBAH) 2026 selama tiga malam.
Keberangkatan tiba baginda dan delegasi disambut oleh Mohd Razali Wahab, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Walter Joseph Kinson serta Panglima Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Malaysia, Yusne Mokhtar.
Perkukuh Hubungan Perlis–Sabah
Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara negeri Perlis dan Sabah melalui pengisian meliputi aspek keselamatan, kebajikan serta pendidikan. Ia menjadi platform strategik untuk mempererat kerjasama dan persaudaraan antara kedua-dua negeri.
Setibanya di Sandakan, baginda terus berangkat mengadakan lawatan ke Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sandakan (TDKKU), pusat di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah.
Pusat berkenaan menyediakan pendidikan khas, penjagaan serta pemulihan kepada kanak-kanak kurang upaya (OKU). Dalam lawatan tersebut, baginda berkenan menyempurnakan perasmian Ruang Terapi dan meluangkan masa beramah mesra bersama warga pusat berkenaan.
Santuni Warga TLDM
Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya menghadiri Majlis Iftar bersama warga Markas Pemerintahan Armada Timur (MAWILLA 2) di Pangkalan TLDM Sandakan.
Majlis tersebut menjadi medium mengeratkan silaturahim bersama warga TLDM termasuk anggota MAWILLA 2 serta anak kapal KD Kelantan, di samping menzahirkan sokongan moral berterusan kepada pasukan keselamatan negara yang bertugas di Sabah.
Secara keseluruhan, pengisian EKS PERBAH 2026 mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kebajikan rakyat, pembangunan pendidikan khas serta pemantapan keselamatan demi kesejahteraan bersama.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah pertukaran idea antara jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis dan Sabah, malah simbol perpaduan erat antara rakyat di Semenanjung dan Borneo.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia