Raja Muda Perlis Seru Budaya Sekolah Selamat dan Harmoni, Jauhi Buli

Raja Muda Perlis Seru Budaya Sekolah Selamat dan Harmoni, Jauhi Buli

SANDAKAN 27 Feb. – Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar seluruh warga sekolah sentiasa memupuk budaya yang selamat dan harmoni dengan menjauhi segala bentuk buli serta tingkah laku tidak berfaedah.

Menurut Baginda, setiap amalan yang baik mencerminkan keperibadian mulia dan menyumbang kepada suasana pembelajaran yang positif. Justeru, para pelajar diseru agar mengamalkan sikap saling menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama demi memastikan persekitaran sekolah sentiasa aman, sejahtera serta menyenangkan untuk semua.

Agama Bentuk Peribadi Berakhlak

Baginda turut menegaskan kepentingan berpegang teguh kepada ajaran agama dalam setiap aspek kehidupan. Agama, titah Baginda, merupakan pedoman yang membentuk peribadi berakhlak, berprinsip dan bertanggungjawab.

“Dengan pegangan yang kukuh, hati menjadi lebih tenang, jiwa lebih kuat dan setiap langkah akan sentiasa dipandu ke arah kebenaran dalam mendepani cabaran,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda menasihati para pelajar agar sentiasa taat kepada ibu bapa atau penjaga serta menghormati guru sepanjang hayat. Restu dan keredaan mereka menjadi sumber keberkatan dan kekuatan dalam kehidupan. Nasihat hendaklah didengar dengan hati terbuka dan adab dipelihara dalam setiap tutur kata serta perbuatan.

Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Pengetua SMK Muhibbah, Mohd Najib Ajun serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Jeffry Nicholas. Program berkenaan melibatkan seramai 638 pelajar.

Komitmen Pendidikan Berkualiti

Menurut Mohd Najib, dengan slogan “Muhibbah Nombor 1, Together We Excel”, sekolah komited memberikan pendidikan berkualiti selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan akses pendidikan menyeluruh kepada semua lapisan pelajar.

SMK Muhibbah sebelum ini turut melakar pelbagai kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum, khususnya sukan olahraga hingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan kesungguhan pelajar serta komitmen padu semua pihak.

Dengan sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak polis, sekolah mewujudkan kerjasama dua hala yang erat dalam memperkukuh disiplin dan kemenjadian pelajar. Ibu bapa komited menyumbang wang ringgit, masa dan tenaga, manakala pemantauan pihak polis membantu memperkukuh aspek disiplin.

Sumbangan dan Perasmian Fasiliti

Dalam majlis sama, Baginda berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan YTSP berjumlah RM1,500 kepada sekolah, termasuk insentif RM500 kepada pelajar cemerlang bagi tempoh tiga tahun.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.