Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Rejimen 504 Askar Wataniah
2 MAC 2026
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Angkatan Tentera Darat Malaysia Yang Ke-93 kepada seluruh warga Tentera Darat dan juga Veteran di atas segala jasa dan pengorbanan mereka untuk negara.
Pada kesempatan yang sama Baginda beritah bahawa pembinaan jati diri yang kukuh, tahap profesionalisme yang tinggi, serta integriti yang tidak berbelah bahagi merupakan teras utama kekuatan angkatan tentera.
Setiap anggota adalah cerminan kepada Tentera Darat Malaysia dan institusi diraja, justeru sahsiah, amanah, serta maruah pasukan hendaklah sentiasa dipelihara dan dijunjung dengan penuh rasa tanggungjawab serta kehormatan.
KESELAMATAN MASA KINI
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, landskap keselamatan masa kini tidak lagi terbatas kepada ancaman konvensional semata-mata, bahkan merangkumi keganasan, jenayah rentas sempadan, serta cabaran siber yang semakin kompleks dan dinamik.
Perubahan ini menuntut kesiapsiagaan menyeluruh, kecekapan taktikal, serta pemikiran strategik yang tajam dalam menghadapi realiti baharu yang kian mencabar.
Sehubungan itu, Baginda menegaskan bahawa amanah yang dipikul oleh setiap anggota tentera menuntut pengorbanan yang besar serta iltizam yang tinggi.
Komitmen, keberanian dan kesetiaan yang dipamerkan oleh seluruh warga angkatan bersenjata bukan sahaja amat dihargai, malah menjadi tunjang kepada kestabilan, kedaulatan dan keamanan negara.
KEPIMPINAN BERTERASKAN TELADAN
Penghayatan nilai kerohanian, kepimpinan berteraskan teladan serta penekanan terhadap aspek kebajikan turut berperanan penting dalam membentuk disiplin, kesabaran dan keikhlasan dalam diri setiap anggota.
Anggota tentera yang mantap rohaninya akan lebih tabah, berprinsip dan berdaya tahan dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan.
Dalam pada itu, kebajikan keluarga wajar diberi perhatian sewajarnya kerana merekalah sumber kekuatan dan inspirasi di sebalik setiap kejayaan.
Kepimpinan melalui contoh yang baik perlu terus diperkasa bagi melahirkan pasukan yang bersatu padu, berintegriti serta sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan.
PENGORBANAN GENERASI TERDAHULU
Keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup berjuang demi tanah air.
Maka menjadi tanggungjawab bersama untuk terus memelihara serta mempertahankannya demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara tercinta.
Demikian menurut kenyataan Rejimen 504 Askar Wataniah, titah Tuanku Raja Muda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa bersama warga Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah.
Keberangkatan tiba Baginda yang berada di Sandakan bagi mengetuai Eksesais Perlis-Sabah (PERBAH) 2026 disambut oleh Panglima 5 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah serta Pegawai Memerintah 22 RAMD, Leftenan Kolonek Khairull Nizam Basar dalam suasana penuh hormat dan semangat setiakawan ketenteraan.
Turut hadir ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar, Timbalan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Brigedier Jeneral Fissol Abd Hadi, serta Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abdul Rani.
MENGHIMPUNKAN WARGA PASUKAN
Majlis berbuka puasa tersebut bukan sekadar menghimpunkan warga pasukan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim antara kepimpinan dan anggota.
Ia sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan, memperteguh iltizam serta menyuburkan rasa tanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.
Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Tentera Darat Malaysia turut menzahirkan harapan agar warga Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja terus mengekalkan semangat juang yang tinggi, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran mendatang.
Semoga setiap usaha dan pengorbanan yang dicurahkan sentiasa diberkati serta menjadi benteng yang ampuh dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia