Oleh: Sholina Osman
Foto: Istana Arau
E-Idaman Sdn Bhd (EISB) terus memperkukuh pelaksanaan operasi kutipan sisa pepejal sepanjang musim perayaan apabila bakal menggerakkan 36 unit kenderaan yang melibatkan 20 unit Compactor Unit (CU), 14 unit Mini Armroll dan 2 unit Backhoe pada malam menjelang Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud berkata operasi khas tersebut dilaksanakan bermula pukul 11.00 malam hingga 6.00 pagi pada malam raya Aidilfitri.
Selain itu, kata beliau seramai 107 petugas terlibat dalam operasi tersebut yang merangkumi 53 pekerja dalaman (in-house) serta 54 pekerja subkontraktor.
MENINGKATKAN KECEKAPAN OPERASI
“E-Idaman komited untuk terus meningkatkan kecekapan operasi kutipan dan pengurusan sisa
pepejal demi memastikan persekitaran yang bersih, selamat dan selesa kepada masyarakat di
kawasan perkhidmatan syarikat,” katanya yang ditemui pada Majlis Ramadan Kita Perlis anjuran E-Idaman dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Rumah Kanak-Kanak Arau, petang semalam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan hadir di majlis berkenaan.
Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak penghuni Rumah Kanak-Kanak Arau dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan mengurniakan buku “Dakwah Bil Hal: 111 MAIPs Peduli Tahun 2024” terbitan MAIPs kepada Zaki.
INISIATIF PENAMBAHAN TONG
Zaki menambah syarikat juga telah melaksanakan inisiatif penambahan tong bagi menampung lebihan sisa yang dijana sepanjang sambutan Aidilfitri.
“Sebanyak 28 unit tong tambahan telah ditempatkan secara sementara di lokasi terlibat yang merangkumi 2-unit tong Roll-On Roll-Off (RoRo) dan 26 unit tong GV1100L, khusus bagi membantu pengurusan sisa sepanjang tempoh perayaan,” kata beliau.
Berdasarkan rekod operasi syarikat, jelas beliau jumlah kutipan sisa pepejal semasa sambutan Tahun Baharu Cina 2026 menunjukkan peningkatan hasil daripada aktiviti pembersihan rumah dan peningkatan
janaan sisa domestik.
SISA TELAH DIKUTIP
Beliau berkata pada 17 Februari 2026, sebanyak 181.62 tan sisa telah dikutip, manakala pada 18 Februari 2026 jumlah kutipan meningkat kepada 184.46 tan.
“Sepanjang tempoh Ramadan 2025 bermula 2 Mac hingga 30 Mac 2025, E-Idaman merekodkan jumlah kutipan sisa sebanyak 3,945.27 tan, melibatkan sisa isi rumah, sisa pukal dan sisa pembersihan awam,” tambah beliau.
Daripada jumlah tersebut, kata Zaki sebanyak 184.77 tan sisa direkodkan pada sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri (30 Mac 2025), manakala 109.46 tan dikutip pada hari pertama Aidilfitri (31 Mac 2025).
MINGGU PERTAMA SYAWAL
Malah kata beliau bagi tempoh minggu pertama Syawal iaitu dari 31 Mac hingga 6 April 2025, jumlah kutipan sisa yang direkodkan adalah sebanyak 939.91 tan, meliputi sisa isi rumah, sisa pukal serta sisa pembersihan awam.
E-Idaman juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas
pembersihan dan pelanggan yang terus bersama memacu kelestarian alam.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, sila hubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472, talian ini beroperasi 7 hari seminggu dari 8 pagi hingga 8 malam. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia