UiTM Perlis Perkenal Inovasi Agromakanan MyNutriCapsule di Masjid As-Sobirin

UiTM Perlis Perkenal Inovasi Agromakanan MyNutriCapsule di Masjid As Sobirin1

ARAU, 9 Mac 2026 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melaksanakan projek inovasi agromakanan melalui penggunaan Kaedah MyNutriCapsule Irrigation System di perkarangan Masjid As-Sobirin Kampung Gial, sebagai usaha memperkasa pertanian komuniti secara moden, sistematik dan mampan.

Projek tersebut memanfaatkan teknologi sistem pengairan yang menggabungkan penggunaan kapsul nutrien khas bagi membekalkan baja secara terkawal terus kepada tanaman. Kaedah ini bukan sahaja membantu meningkatkan kadar pertumbuhan tanaman, malah berupaya menjimatkan penggunaan air serta mengurangkan pembaziran baja.

Pelaksanaan projek inovasi ini turut dilihat sebagai pendekatan baharu dalam memanfaatkan kawasan persekitaran masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, khususnya dalam bidang agromakanan. Inisiatif tersebut berpotensi memberi manfaat kepada kariah setempat melalui penghasilan sumber makanan segar selain membuka ruang kepada aktiviti pendidikan serta latihan pertanian moden.

Selain itu, projek berkenaan juga menyokong usaha memperkukuh sekuriti makanan di peringkat komuniti, di samping menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pertanian yang lebih efisien serta berteraskan teknologi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat mengadakan lawatan tapak serta menyempurnakan simbolik menanam anak pokok terung sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif inovasi agromakanan tersebut.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Ahmad Nizan Mat Noor.

Penerangan mengenai projek berkenaan dipersembahkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Cawangan Perlis, Wan Nurshazelin Wan Shahidan.

Projek berimpak komuniti ini menerima pembiayaan daripada Kementerian Kewangan Malaysia melalui inisiatif Geran Komuniti@UniMADANI.

Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan Majlis Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di masjid berkenaan.

Sempena majlis tersebut, Baginda yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut menyempurnakan penyampaian Agihan Zakat MAIPs berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf daripada kariah Kampung Gial, dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM700 seorang.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.