Masakan Perlis Tembusi Sempadan, Raja Muda Lancar Promosi di Sadao

Masakan Perlis Tembusi Sempadan, Raja Muda Lancar Promosi di Sadao

SADAO, 10 Mac 2026 – Negeri Perlis mempunyai keunikan tersendiri dalam aspek masakan dan makanan yang mampu menarik masyarakat dari Selatan Thailand untuk berkunjung menikmati pelbagai hidangan tradisional negeri tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keistimewaan masakan Perlis terletak pada kepelbagaian pakej makanan dengan harga berpatutan, keaslian makanan Melayu utara, status halal yang diyakini serta gabungan rasa dua budaya Malaysia–Thailand yang begitu harmoni.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Zab Inter@Sadao, sebuah restoran Thai terkenal di daerah Sadao yang sering menjadi pilihan pengunjung yang melintasi sempadan Malaysia–Thailand.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku telah disambut oleh Pengurus Zab Inter@Sadao, Phikul Kittinantapong.

Promosi Masakan Perlis tersebut dianjurkan oleh pihak restoran berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), GTK Perlis, serta Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka.

Antara hidangan yang diketengahkan ialah Kurma Daging Perlis, sebuah sajian warisan negeri yang terkenal dengan rasa kaya, seimbang dan autentik. Hidangan itu menonjolkan identiti kulinari Perlis yang sarat dengan cita rasa tempatan.

Melalui promosi ini, keistimewaan masakan Perlis dibawa melangkaui sempadan negara sekali gus memperkenalkan kepada pengunjung luar bahawa hidangan tradisional negeri tersebut bukan sahaja enak dinikmati, malah mencerminkan warisan kulinari yang unik dan membanggakan.

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.