KUALA PERLIS, 11 Mac 2026 – Masyarakat disarankan supaya memainkan peranan sebagai “mata dan telinga” kepada agensi pemberi bantuan dengan menyalurkan maklumat berkaitan golongan asnaf yang memerlukan kepada pihak berwajib.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penyaluran maklumat melalui saluran rasmi seperti amil kariah atau pemimpin masyarakat setempat merupakan langkah terbaik bagi memastikan kes keciciran bantuan dapat dikenal pasti dan diambil tindakan segera oleh pihak berkaitan.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Ijtimak Amil Kariah Negeri Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.
Menurut Baginda, orang ramai juga digalakkan membuat semakan ringkas atau mendapatkan gambaran sebenar terlebih dahulu sebelum berkongsi sesuatu isu di media sosial bagi mengelakkan salah faham dalam masyarakat.
Dalam hal ini, MAIPs bersama pelbagai agensi menggunakan pengesahan status kemiskinan dalam sistem e-Kasih sebagai rujukan utama bagi menyelaraskan penyaluran bantuan. Oleh itu, tidak mustahil individu yang tular di media sosial sebenarnya sudah berada dalam senarai penerima bantuan atau sedang dalam proses penyaluran bantuan sewajarnya.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Program Ijtimak Amil berkenaan menjadi platform pertemuan yang menghimpunkan para amil zakat bagi memperkukuh peranan mereka dalam pengurusan kutipan serta agihan zakat kepada golongan asnaf di negeri ini.
Seramai 100 orang amil yang mewakili seluruh kariah di Perlis menyertai program tersebut.
Penganjuran program ini bertujuan memberi taklimat serta penyelarasan berkaitan dasar, garis panduan dan tatacara pengurusan zakat supaya pelaksanaannya dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berkesan.
Melalui program ini juga, para amil diberikan pendedahan berkaitan tanggungjawab serta amanah yang dipikul dalam memastikan kutipan zakat dapat disalurkan dengan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyempurnakan pengurniaan agihan khas MAIPs kepada 100 orang amil yang terlibat dalam program tersebut.
Foto: MAIPs.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia