Raja Muda Perlis Titah Jangan Beri Ruang Kepada Pembelot Negara

Raja Muda Perlis Titah Jangan Beri Ruang Kepada Pembelot Negara

PADANG BESAR, 16 Mac 2026 – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar tidak diberi sebarang ruang kepada mana-mana pihak yang bertindak sebagai ‘pembelot negara’, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan tanah air terus terpelihara.

Baginda menegaskan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini tidak akan dapat dipertahankan tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen tinggi daripada anggota pasukan keselamatan.

“Tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen tinggi daripada anggota pasukan keselamatan, keamanan yang kita nikmati hari ini sukar dipertahankan,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa setiap pergerakan dan perbuatan manusia sentiasa dalam perhatian Allah SWT, justeru anggota keselamatan diseru untuk meningkatkan tekad, semangat juang dan melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan serta rasa cinta kepada negara.

Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan sempena Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna Kompeni C, Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ketibaan Baginda berdua disambut oleh Ketua Polis Negeri Perlis, Deputi Komisioner Polis Datuk Muhammad Abdul Halim. Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut memuji usaha bersepadu pelbagai agensi keselamatan di negeri ini dalam memperkukuh kawalan sempadan, khususnya bagi menjadikan Perlis sebagai kawasan berisiko tinggi kepada mana-mana pihak yang cuba menjalankan kegiatan haram rentas sempadan Malaysia–Thailand.

Baginda menegaskan bahawa usaha tersebut memerlukan tahap integriti tinggi, iltizam berterusan serta kerjasama erat antara semua pihak berkaitan.

Selain itu, Baginda turut dimaklumkan bahawa pasukan keselamatan akan terus meningkatkan kesiapsiagaan serta ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang, di samping memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan kawalan sempadan lebih berkesan.

Tuanku Raja Muda turut menzahirkan rasa bangga terhadap kesedaran masyarakat di kedua-dua belah sempadan yang semakin meningkat dalam membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.

“Keselamatan negeri dan negara bukanlah tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat,” titah Baginda lagi.

Program tahunan yang diurusetiakan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu merupakan simbol penghargaan kepada anggota keselamatan yang terus bertugas ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan keamanan negara sentiasa terjamin.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.