ARAU 21 Mac – Lebih 7,000 masyarakat pelbagai kaum memeriahkan sambutan Aidilfitri @ Istana Arau dengan menikmati pelbagai juadah istimewa yang disediakan dalam suasana penuh harmoni dan kemeriahan.
Bersempena majlis itu, para pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengadap dan bersalaman dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat memeriahkan majlis ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan rakyat itu kali terakhir diadakan pada tahun 2019. Ia tidak dapat dilaksanakan selepas itu berikutan pandemik Covid-19 dari tahun 2020 hingga 2022, selain faktor kesihatan apabila Baginda Tuanku menjalani pembedahan kaki serta proses pemulihan pada 2023 dan 2024. Pada tahun lalu, 2025, majlis turut tidak diadakan susulan serangan ke atas Gaza.
Selepas enam tahun, Rumah Terbuka Istana Arau kembali diadakan di Dataran Majlis Istana Arau bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, sejurus selesai Solat Sunat Aidilfitri yang turut berlangsung di pekarangan Dataran Istiadat Istana Arau.
Pelbagai juadah menarik disediakan secara bufet untuk para tetamu, antaranya nasi minyak, ayam masak ros, kurma daging Perlis, jelatah, tumis sotong, ketupat, rendang daging, rendang ayam, laksa Kuala Perlis, kuetiau goreng, apom balik, ABC, aiskrim serta pelbagai jenis minuman. Para hadirin menikmati hidangan tersebut di kawasan khemah khas yang disediakan.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti selingan seperti persembahan nyanyian, permainan inflatable ala supa-dupa, Rodeo Ride, game shows dan pelbagai aktiviti lain khusus untuk kanak-kanak. Selain itu, dekorasi menarik serta beberapa photo booth turut disediakan bagi membolehkan tetamu merakam kenangan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan.
Bagi melancarkan pergerakan pengunjung, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan MYBus sebagai pengangkutan ulang-alik untuk membawa tetamu yang meletakkan kenderaan di Dewan Sivik Arau dan kawasan sekitar C-Mart. Bas shuttle bergerak dari Dewan Sivik Arau dengan hentian pertama di hadapan Galeri Diraja Arau, sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan C-Mart dengan hentian kedua di hadapan Jalan Kebun di belakang Istana Arau. Dari lokasi itu, pengunjung perlu berjalan kaki ke kawasan Dataran Majlis Istana Arau yang terletak di pintu belakang istana.
Sebanyak 10 agensi menjalin kerjasama strategik dalam menjayakan sambutan Aidilfitri kali ini, antaranya Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta beberapa agensi kerajaan dan swasta lain.
Majlis tersebut bukan sahaja menghidupkan kembali tradisi rumah terbuka diraja yang cukup bermakna kepada rakyat, malah menjadi simbol perpaduan, kemesraan dan hubungan erat antara institusi diraja dengan masyarakat pelbagai lapisan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia