KUALA PERLIS 24 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sebanyak RM725,400 bagi menyokong pembangunan serta keperluan pendidikan di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs, berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Ar-Rahmaniah, Kuala Perlis baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam ucapannya, Mohd Nazim memaklumkan bahawa peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkasa institusi pendidikan Islam di negeri Perlis, khususnya dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti.
Menurut beliau, inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan yang berteraskan nilai-nilai Islam yang syumul, sekali gus menyumbang kepada pembinaan generasi yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan daya saing.
Keprihatinan berterusan MAIPs ini diharap mampu memberi impak signifikan terhadap pembangunan pendidikan generasi muda, seterusnya melahirkan insan berilmu, berakhlak mulia serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.
Usaha tersebut turut mencerminkan iltizam MAIPs dalam memartabatkan pendidikan Islam sebagai tunjang pembinaan ummah, demi menjamin kelangsungan kecemerlangan agama, bangsa dan negeri pada masa hadapan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia