‘Piala Harumanis Perlis’ Bakal Julung Kali Dianjurkan Mei Ini, KGP Tewaskan PPKL 442–439

‘Piala Harumanis Perlis’ Bakal Julung Kali Dianjurkan Mei Ini, KGP Tewaskan PPKL 442–439

KANGAR, 25 Mac 2026 — Kelab Golf Putra (KGP) Perlis akan menganjurkan kejohanan baharu berprestij, ‘Piala Harumanis Perlis’ buat julung kalinya pada Ahad, 3 Mei 2026 di Sungai Batu Pahat, Perlis.

Kejohanan itu bakal dilaksanakan dengan kerjasama strategik Jabatan Pertanian Negeri Perlis serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis, sekali gus mengangkat identiti Harumanis sebagai ikon negeri.

Perkara tersebut dipersembahkan oleh Kapten KGP Perlis, Idris Tan Sri Sheikh Ahmad kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena Majlis Santapan Tengahari dan Penyampaian Hadiah bagi pertandingan golf merebut Piala Syed Sirajuddin Areeb Putra di rumah kelab berkenaan, petang semalam.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Pertandingan tradisi antara Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dan KGP Perlis yang berlangsung pada hari raya ketiga setiap tahun itu telah dianjurkan sejak lebih tiga dekad lalu, hasil cetusan idea Tuanku Raja Muda Perlis ketika Baginda berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS) dan memegang portfolio Belia dan Sukan dalam PPKL.

Edisi tahun ini menyaksikan KGP Perlis muncul juara dengan kutipan 442 mata, menewaskan PPKL yang meraih 439 mata dalam saingan melibatkan 50 peserta daripada kedua-dua pasukan.

Bagi KGP Perlis, pemain terbaik ialah Roshamizan Yaakob, Nazmi Sabu, Fahimi Musa dan Wan Mohd Zaki dengan masing-masing mencatat 38 mata.

Sementara itu, bagi PPKL, Rahizam Ramli dan Abdul Latif Jamil turut mencatat 38 mata, diikuti Airil Rizman, Anis Sofea Hamlussalam dan Mahizan Shuib dengan 37 mata.

Dalam ucapan balas, Yang DiPertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman memaklumkan bahawa pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah bagi edisi ‘Golf Raya’ kali ini, yang bukan sahaja memeriahkan sambutan Aidilfitri, malah mengeratkan hubungan antara anak Perlis di perantauan dan di negeri asal.

Beliau turut berkongsi bahawa PPKL terus komited melaksanakan inisiatif pendidikan apabila menyalurkan sembilan unit Chromebook bernilai RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan Oran dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, bagi menyokong pembelajaran digital dan pencalonan sekolah tersebut dalam Pertandingan Google Reference School 2026.

Selain itu, PPKL juga merancang penganjuran Perlis International Talk di negeri ini dalam masa terdekat, dengan tarikh akan diumumkan kelak.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.