Raja Perlis Bersama Rakyat Tunai Solat Istisqa’ Mohon Hujan

Raja Perlis Bersama Rakyat Tunai Solat Istisqa’ Mohon Hujan

ARAU, 26 Mac 2026 – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat bersama rakyat menunaikan Solat Al-Istisqa’ di Dataran Istiadat, Istana Arau pagi ini sebagai ikhtiar memohon hujan susulan kemarau dan cuaca panas yang melanda negeri itu.

Solat yang dilaksanakan di tanah lapang itu menghimpunkan 1,000 jemaah daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dengan penuh keinsafan, menzahirkan rasa kehambaan serta harapan agar diturunkan hujan rahmat.

Keberangkatan Baginda mencerminkan kepimpinan berteraskan agama yang sentiasa mendahulukan pendekatan spiritual dalam menghadapi ujian alam, di samping memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan rakyat.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang sebelum ini menyeru umat Islam agar bersama-sama bermunajat memohon keampunan dan rahmat Allah SWT.

Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail turut sama menunaikan solat sunat berkenaan.

Solat berkenaan telah diimamkan serta khutbah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Haji Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Pelaksanaan solat tersebut diadakan berikutan keadaan cuaca panas berpanjangan yang memberi kesan kepada sumber air dan kehidupan harian rakyat di negeri ini.

Dalam suasana penuh khusyuk, para jemaah turut diperingatkan agar memperbanyakkan istighfar, bertaubat, bersedekah serta meninggalkan segala bentuk kemungkaran sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Solat Al-Istisqa’ merupakan amalan sunnah yang dianjurkan ketika berlakunya kemarau, sebagai tanda pengharapan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT agar diturunkan hujan yang membawa keberkatan.

Semoga doa yang dipanjatkan pada pagi ini diperkenankan dan bumi Perlis kembali dibasahi hujan rahmat.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Doa Al-Istisqa’ turut akan dilaksanakan di masjid-masjid seluruh negeri Perlis ketika Khutbah Jumaat, berdasarkan teks khutbah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pelaksanaan tersebut akan bermula pada 27 Mac 2026 dan diteruskan sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh JAIPs.

Sehubungan itu, seluruh umat Islam di negeri ini diseru untuk bersama-sama memperbanyakkan doa, memperbaiki diri serta memohon keampunan agar Perlis dikurniakan rahmat hujan dan dijauhkan daripada segala bentuk musibah.

Dalam masa sama, orang ramai juga dianjurkan untuk terus berdoa agar diturunkan hujan sepanjang tempoh kemarau panjang dan krisis kekurangan air yang sedang melanda negeri ini.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.