Persatuan Perlis Kuala Lumpur muncul juara perlawanan bolasepak ‘Bola Raya 2026’

Persatuan Perlis Kuala Lumpur muncul juara perlawanan bolasepak ‘Bola Raya 2026’

Oleh: Sholina Osman
25 MAC 2026

Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) muncul juara perlawanan bolasepak ‘Bola Raya 2026’ menumpaskan pasukan Pilihan Veteran Perlis dengan kesudahan 3-2 di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar.

Gol-gol PPKL dijaringkan oleh Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Wan Khairul Fitri Kamarudin, dan Muhammad Hazwan Rahman.

Gol balas pasukan Pilihan Veteran Perlis pula disumbat oleh Firdaus Mansor dan Megat Tarmizi Hamdan setelah ketinggalan tiga gol sebelum itu.

MENYEMPURNAKAN SEPAK MULA

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan sepak mula dan seterusnya menyaksikan perlawanan dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemain.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang DiPertua PPKL, Datuk Md Silmi Abd Rahman memaklumkan kepada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda bahawa pihak Persatuan Perlis Kuala Lumpur akan menganjurkan sambutan ‘Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M’ pada hari ahad 12 April 2026 yang akan datang nanti dari pukul 10 pagi hingga 1 petang bertempat di The Gabion Garden Hall, Setapak, Kuala Lumpur.

MENJEMPUT SEMUA AHLI

Beliau mengambil kesempatan menjemput semua ahli-ahli PPKL dan keluarga masing-masing hadir beramai-ramai untuk memeriahkan majlis.

Menurut beliau, PPKL sentiasa komited dalam memperkukuhkan komuniti anak-anak Perlis di Kuala Lumpur.

Persatuan ini membuka ruang kepada semua anak Perlis untuk menyertai PPKL, amat mengalu-alukan penyertaan ahli baharu bagi menguatkan jaringan komuniti di ibu negara.

Tambah Md Silmi lagi, PPKL akan terus merangka dan merancang program-program yang memberi manfaat kepada seluruh warga persatuan dan Negeri Perlis amnya.

UNTUK SEMUA BERHIMPUN

Berbalik kepada perlawanan ‘Bola Raya’, beliau berkongsi bahawa acara ini bukan sahaja medan pertandingan semata-mata, tetapi juga merupakan platform yang amat bermakna untuk semua berhimpun sejak lebih 30 tahun lalu hasil ilham dan usaha Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri ketika Baginda masih bertugas di ibunegara dan menjadi Ahli Jawatankuasa PPKL bagi potfolio Belia dan Sukan.

Program ini memberi peluang untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuhkan ukhuwah, serta
mengukuhkan hubungan persaudaraan di kalangan anak-anak Perlis, khususnya yang berada di perantauan.

SEMUA BERKONGSI PENGALAMAN

Lebih daripada itu, acara ini juga membolehkan semua berkongsi pengalaman dan pandangan serta mencipta kenangan manis yang akan terus diingati.

Kehadiran dan penyertaan semua pemain adalah bukti bahawa semangat PPKL dan komuniti anak-anak Perlis sentiasa teguh dan berkembang.

Semoga pertandingan tersebut bukan sahaja menjadi medan menunjukkan kebolehan, tetapi juga menjadi inspirasi dan motivasi untuk terus aktif dalam sukan dan program-program PPKL yang lain. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.