Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bakal menerbitkan sebuah Buku Meja Kopi (Coffee Table Book) eksklusif yang menampilkan keperibadian, jasa serta peranan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid selaku Penaung Diraja yayasan itu.
Penerbitan naskhah istimewa berkenaan bertujuan merakam perjalanan hidup, ilham serta dedikasi baginda dalam memperkasa golongan wanita dan mengangkat kecemerlangan merentasi pelbagai bidang.
Buku tersebut bukan sekadar dokumentasi sejarah kepimpinan, bahkan dijangka menjadi khazanah berharga yang mampu menyemai inspirasi kepada generasi pewaris, khususnya dalam aspek kepimpinan wanita dan pembangunan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, YTF turut mengorak langkah menjalin kolaborasi strategik bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bagi meneroka potensi dalam sektor teknologi serta keusahawanan.
Usaha itu dilihat selari dengan aspirasi memperkukuh sinergi antara industri dan kerajaan, sekali gus merangsang inovasi serta pengembangan bakat dalam kalangan wanita berpotensi tinggi.
Kolaborasi berkenaan juga akan memberi tumpuan kepada pemilihan seorang tokoh berwibawa yang memenuhi aspirasi “Women in Search of Excellence”, iaitu gagasan teras YTF dalam melahirkan individu berkaliber tinggi dengan visi dan daya kepimpinan cemerlang.
Keputusan tersebut telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah YTF yang dipengerusikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Langkah strategik berkenaan diyakini mampu mengukuhkan peranan YTF sebagai wadah konsisten dalam memperkasa wanita serta menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sosial dan kemakmuran negara.
Foto: Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Last updated: 4/14/2026