Oleh: Sholina Osman
Foto : Rejimen 504 Askar Wataniah (TDM)
21 APRIL 2026
Rakyat sentiasa memerhati setiap tindakan pasukan keselamatan, dan setiap keputusan yang diambil memberi impak besar terhadap keyakinan masyarakat.
Justeru, dalam memberikan perkhidmatan, sifat sabar, tenang, jujur, dan ikhlas mesti sentiasa diutamakan.
Pengorbanan dan dedikasi pasukan keselamatan menjadi benteng utama negara, memastikan Malaysia kekal damai, stabil, dan sejahtera.
KEAMANAN DAN KETENTERAMAN
Tanpa komitmen tinggi daripada mereka, keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati hari ini sukar dipertahankan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Defence Services Asia (DSA) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Keberangkatan Baginda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan sektor pertahanan negara, khususnya dalam memperkasa inovasi teknologi, merangsang pertumbuhan industri tempatan serta memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa.
MENELITI PERKEMBANGAN TERKINI
Kunjungan Tuanku Syed Faizuddin Putra ini merupakan ruang bagi meneliti perkembangan terkini dalam teknologi pertahanan moden, termasuk sistem persenjataan, mobiliti taktikal, dan penyelesaian keselamatan bersepadu yang semakin dinamik.
Sepanjang lawatan tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah di pelbagai pempamer utama dunia, antaranya Reunert Electronics, Rosoboronexport, Colt CZ, FN Herstal, Heckler & Koch, Steyr Arms, Weststar, Mal Tech serta Caracal selain Pavilion Turkiye dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Edisi ke-19 Defence Services Asia (DSA) 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 23 April 2026 ini diadakan serentak dengan National Security Asia (NATSEC) 2026, menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia dalam satu platform berprestij.
TERBESAR DALAM SEJARAH
Difahamkan penganjuran kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah, dengan penyertaan sebanyak 1,456 syarikat dari 63 buah negara.
Skala penyertaan ini bukan sahaja menegaskan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik industri pertahanan di rantau ini, malah membuka ruang luas kepada pemindahan teknologi, pengukuhan kolaborasi antarabangsa serta pembangunan kapasiti tempatan yang lebih mampan dan berdaya saing.
DSA 2026 turut menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh ekosistem pertahanan negara, selari dengan aspirasi Malaysia untuk terus ke hadapan sebagai negara yang inovatif, berdaya tahan dan bersedia mendepani cabaran keselamatan global masa hadapan. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia