KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat Defence Services Asia (DSA) 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) hari ini.
Baginda tiba di North Entrance MITEC sekitar jam 10.00 pagi sebelum memulakan lawatan ke beberapa reruai pameran utama yang mempamerkan teknologi pertahanan terkini dari dalam dan luar negara.
Dalam rangka lawatan tersebut, Baginda turut berkenan menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan rakan industri, yang dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi serta inovasi pertahanan.
Selepas itu, Baginda meneruskan lawatan ke reruai syarikat teknologi pertahanan termasuk Reutech Electronics (REUTECH), selain meninjau beberapa pameran lain yang berdekatan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh perkembangan industri berkenaan.
Keberangkatan Baginda diiringi beberapa tokoh akademik dan industri termasuk Prof Dato Dr Kamarudin Hussin, Prof Dato Zaliman, serta Ketua Pengarang Suara Merdeka, Borhan Abu Samah, bersama wakil-wakil sektor berkaitan.
DSA 2026 yang menghimpunkan pemain industri pertahanan global ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan strategik, pemindahan teknologi serta pembangunan keupayaan pertahanan negara.
Lawatan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis ini mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap usaha memperkasa ekosistem pendidikan tinggi dan industri, khususnya dalam bidang berimpak tinggi seperti keselamatan dan pertahanan negara.
Baginda dijadualkan mengakhiri lawatan dengan santapan tengah hari sebelum berangkat pulang sekitar jam 12.40 tengah hari.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia