Rukun Islam asas terbaik bina jati diri – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
21 APRIL 2026

Rukun Islam merupakan asas terbaik dalam membina jati diri seseorang.

Amalan solat sebagai tiang disiplin, zakat dan sedekah sebagai pemupuk nilai kemanusiaan, serta tawakal sebagai sumber kekuatan mental akan melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdas minda, malah teguh jiwanya.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Abi Batas Paip, dekat Kangar baru-baru ini.

Turut berangkat sama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

MENDEKATI DAN MENYANTUNI

Program ini merupakan antara inisiatif utama MAIPs dalam mendekati dan menyantuni masyarakat secara langsung melalui penyaluran bantuan wang tunai, barangan keperluan asas serta penyelesaian isu-isu kebajikan yang mendesak.

Selaku Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada para penerima.

Antara asnaf yang terpilih pada edisi kali ini ialah Romawan Rosli, 41, dari Kampung Abi Kubang Badak, Rogayah Baharom, 67, dari Kampung Abi Tengah, serta Fadzilah Hashim, 73 , dari Kampung Abi Tok Hashim.

MELAWAT ABI COTTAGE

Dalam rangka lawatan tersebut, Baginda turut berkenan melawat Abi Cottage, sebuah inap desa berkonsepkan kabin moden.

Terletak di Jalan Abi Tok Hashim, Abi Cottage menawarkan suasana desa yang nyaman, menjadikannya lokasi ideal untuk percutian keluarga, hari keluarga, mahupun aktiviti santai hujung minggu.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang, penginapan, kemudahan BBQ dan dapur, serta hiburan digital seperti akses Wi-Fi dan penstriman Netflix serta Disney+. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.