Penubuhan Unit Respiratori Baharu HTF Memudahkan Pesakit di Perlis Menerima Rawatan

Kangar – Perkhidmatan respiratori di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini melangkah ke tahap lebih maju dengan penubuhan unit kepakaran tersendiri di bawah Jabatan Perubatan yang membolehkan pesakit paru-paru dan sistem pernafasan menerima rawatan komprehensif di negeri Perlis tanpa perlu dirujuk ke luar.

Inisiatif baharu ini diterajui oleh pakar perubatan respiratori bagi meningkatkan kualiti rawatan, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kesihatan negeri.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Suit Intervensi Pulmonologi dan Makmal Respiratori di Unit Perubatan Respiratori HTF Kangar yang menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkasakan sektor kesihatan negeri.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian Suit Intervensi Pulmonologi dan Makmal Respiratori di Unit Perubatan Respiratori HTF, Kangar.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrasound Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Paras Doshi berkata, pelancaran perkhidmatan respiratori yang merangkumi bronkoskopi, pleuroskopi serta teknologi pletismografi seluruh tubuh di Respiratory Suite dan makmal respiratori menandakan permulaan era baharu landskap perubatan di Perlis.

Beliau turut menzahirkan junjungan kasih terhadap kepimpinan DYTM Raja Muda Perlis yang sentiasa menekankan kepentingan memperkasakan perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor kesihatan yang lebih mampan.

Terdahulu, pesakit terpaksa mendapatkan rawatan respiratori khusus di Alor Setar atau Pulau Pinang yang bukan sahaja memakan masa, malah menambah beban kepada pesakit dan keluarga, khususnya dalam keadaan kesihatan yang mencabar.

Dengan kewujudan unit ini, lebih 500 orang pesakit setiap tahun kini berpeluang menerima rawatan di negeri sendiri, selain memendekkan tempoh menunggu serta membolehkan saringan dan rawatan dimulakan dengan lebih cepat dan berkesan.

Kemajuan ini turut didorong oleh perkembangan pesat perkhidmatan Perubatan Akut di Perlis yang menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak kepakaran, sekali gus membentuk ekosistem kesihatan yang semakin matang, kukuh dan diyakini.

Perkhidmatan ini diterajui oleh pakar perubatan respiratori bersama-sama pasukan sokongan yang komited, mencerminkan kekuatan sebenar melalui semangat berpasukan warga kerja di belakang tabir.

Majlis ini diadakan bersempena dengan program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kangar.

Dalam program yang sama, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan zakat MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Che Yam Jamaluden (71 tahun) dari Kampung Behor Empiang serta Che Mah Che Pin (92 tahun) dan Madina Musa (75 tahun) yang kedua-duanya dari Kampung Teluk Kachang.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.