Setiap pelajar perlu miliki pegangan agama yang kukuh sebagai panduan kehidupan – Raja Muda Perlis

Setiap pelajar perlu miliki pegangan agama yang kukuh sebagai panduan kehidupan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
30 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa setiap pelajar perlu memiliki pegangan agama yang kukuh serta menjadikan ajaran Islam sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.

Baginda menegaskan bahawa dalam usaha mengejar kejayaan sama ada dalam bidang akademik mahupun sukan, para pelajar hendaklah sentiasa memelihara solat serta menjaga akhlak.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ilmu yang diberkati dan kesihatan yang baik merupakan kurniaan Allah SWT kepada mereka yang sentiasa menjaga hubungan dengan-Nya.

Selain itu, Baginda turut menekankan bahawa disiplin merupakan asas utama dalam mencapai kejayaan. Pelajar diseru untuk mengamalkan sikap menepati masa, rajin berlatih, patuh kepada arahan, serta bertanggungjawab dalam setiap perkara.

DIKUASAI DENGAN BAIK

“Seimbangkan komitmen antara latihan dan pelajaran agar kedua-duanya dapat dikuasai dengan baik. Gunakan semangat juang dan daya tahan yang ada untuk cemerlang dalam akademik,” titah Baginda.

Dalam dunia yang semakin kompetitif, Tuanku Raja Muda menegaskan bahawa pelajar perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran, serta sentiasa bersedia untuk belajar dan berubah ke arah yang lebih baik. Dengan usaha yang konsisten, Baginda yakin para pelajar mampu mencapai kejayaan hingga ke peringkat antarabangsa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri-SSN Perlis) 2026 di Kangar baru-baru ini.

Turut berangkat ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri ini ialah, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

BERMENTALITI KELAS PERTAMA

Keberangkatan tiba Baginda berdua ke program berslogankan ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ itu disambut oleh Pengetua sekolah, Azzuadi Jusoh.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Johari Mohd Darus, serta Ketua Penyelaras Program, Mejar Mohamad Azuan Muhamad Nasir.

Seramai 254 orang pelajar telah terlibat terdiri daripada 151 orang lelaki dan 103 orang perempuan.

Dalam ucapan aluannya, Azzuadi Jusoh memaklumkan bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat pencapaian terbaik sekolah dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 5.59 berbanding 5.85 pada tahun sebelumnya. Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut menunjukkan peningkatan daripada GPS 1.98 kepada 2.50.

DALAM BIDANG KOKURIKULUM

Selain kecemerlangan akademik, sekolah tersebut turut menyerlah dalam bidang kokurikulum. Pada tahun 2024, beberapa atlet telah terpilih menyertai Program PSM MARA di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Kuantan, dengan latihan intensif sambil mengikuti pengajian kemahiran yang ditaja sepenuhnya oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan MARA.

Dalam bidang olahraga, atlet sekolah berjaya mengharumkan nama negeri dengan menyumbang pingat dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi tahun 2024 dan 2025. Malah, dua atlet, Muhammad Izwan Idris dan Muhamad Dzulfikri Abu Dzarda, telah terpilih mewakili negara.

Di peringkat kebangsaan pula, Aina Batrisya Mohd Effendy muncul juara dalam kategori beregu perempuan bawah 16 tahun dalam Kejohanan Badminton AFFIN-100 Plus Junior Elite Tour 2026 di Melaka.

PEMBANGUNAN BAKAT SENI

Sekolah ini juga aktif dalam pembangunan bakat seni dan media digital apabila pelajarnya berjaya menjadi ikon TV PSS peringkat kebangsaan pada tahun 2024. Pada tahun berikutnya, pasukan muzik sekolah meraih tempat keenam dalam pertandingan orkestra jazz kebangsaan serta menjuarai pertandingan Genta Suara peringkat negeri Perlis.

Tidak ketinggalan, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut diberi penekanan dengan menyediakan peluang kepada murid berkeperluan khas memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui program micro-credential dalam bidang asas roti dan tanaman.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Café SSN sekolah tersebut, yang diuruskan oleh pelajar PPKI. Kafe tersebut menjual produk roti hasil kemahiran pelajar dan beroperasi setiap hari dari jam 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.