Oleh: Sholina Osman
Foto : Rejimen 504 Askar Watania
2 Mei 2026
Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia terus memperkukuh kekuatan pasukannya apabila menerima kemasukan baharu seramai 250 anggota, dengan tambahan seramai 150 anggota lagi dijadualkan menyertai rejimen ini menjulang Julai tahun ini.
Perkembangan positif ini meletakkan rejimen berkenaan pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran nisbah satu kepada satu antara anggota tetap dan anggota sukarela menjelang tahun 2032, selaras dengan Rancangan Masa Hadapan-Domain Daratan (AMH-D2).
Perkara tersebut dipersembah maklumkan oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji kepada Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Rejimen berkenaan, sempena Sambutan Hari Keluarga Rejimen berkenaan bagi tahun 2026 yang berlangsung di My Home Village, Arau baru-baru ini.
Turut berangkat ialah anakanda puteri kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
TIDAK PERNAH TERHENTI
Leftenan Kolonel Lasahi dalam ucapannya menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai seorang anggota tentera tidak pernah terhenti, sebaliknya menuntut komitmen berterusan dalam memelihara disiplin, menjaga nama baik pasukan, serta memperkukuh semangat setiakawan dan profesionalisme dalam setiap tugasan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah pasukan bukan sahaja terletak pada keupayaan fizikal, tetapi juga pada nilai akhlak, integriti dan keikhlasan setiap anggotanya. Justeru, setiap anggota diseru agar sentiasa menjadi contoh terbaik kepada keluarga dan masyarakat.
Pada majlis sama, Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan simbolik perasmian sambutan serta turut menyertai acara sukaneka bowling kelapa yang berlangsung meriah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudiannya berkenan menyempurnakan pengurniaan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang sukaneka serta cabutan bertuah utama, menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan warga Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri tersebut. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia