SANGLANG, 11 Mei — Kehadiran lumba-lumba Irrawaddy di perairan Sungai Baru sejak dua minggu lalu menjadi tumpuan Persatuan Penjelajah Alam Perlis (PNX) yang menjalankan pemantauan harian di kawasan berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PNX, Syamil Abd Rahman ketika menyampaikan taklimat Mamalia Marin Perlis ke hadapan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di tepi pantai Sungai Baru, di sini.
Taklimat khas itu memberi penerangan mengenai Important Marine Mammals Area (IMMA) yang melibatkan lima spesies mamalia marin utama iaitu Indo-Pacific Humpback Dolphin, Indo-Pacific Bottlenose Dolphin, Irrawaddy Dolphin atau empesut, Finless Porpoise dan Paus Bryde.
Menurut PNX, perairan Kuala Sungai Baru dikenal pasti sebagai kawasan penting kepada aktiviti pembiakan, pergerakan dan pencarian makanan spesies marin berkenaan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut disembah maklum bahawa pengiktirafan IMMA bukan sekadar pengiktirafan saintifik terhadap biodiversiti marin, malah menjadi asas kepada usaha pemuliharaan jangka panjang.
Ia termasuk kawalan aktiviti perikanan, pengurangan pencemaran laut serta garis panduan pelayaran supaya habitat mamalia marin tidak terganggu.
PNX turut menasihatkan orang ramai, khususnya pelawat dan nelayan, supaya menjaga jarak selamat apabila terserempak dengan mamalia marin, selain tidak memberi makanan, tidak mengejar haiwan berkenaan dan mengurangkan bunyi enjin bot.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyantuni serta menyerahkan sumbangan agihan zakat kepada tiga penerima di sekitar Sungai Baru.
Penerima tersebut ialah Mt Ali Long, 75, dari Kampung Sungai Baru Tengah; Azizah Mahmud, 77, dari Kampung Sungai Baru; dan Azani Junos, 60, dari Kampung Sungai Baru Sanglang.
FOTO MAIPs
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia