Perlis-UMSU Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri dan Peradaban Melayu Serantau

Perlis UMSU Perkukuh Kerjasama Pendidikan, Industri dan Peradaban Melayu Serantau

ARAU – Jalinan kerjasama strategik antara Negeri Perlis dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia terus diperkasa secara menyeluruh merangkumi sektor pendidikan tinggi, pembangunan industri dan pengukuhan peradaban Melayu serantau sebagai teras kemajuan bersama.

Perkara itu dipersembah maklum oleh Ketua Badan Pembina Harian (BPH) UMSU, Prof. Dr. Agussani dalam sesi mengadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau baru-baru ini.

Turut hadir ialah Rektor baharu UMSU, Prof. Dr. Akrim; Rektor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Dr. H. Saidul Amin; Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam sesi tersebut, pihak UMSU memaklumkan perancangan menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa di Medan, Indonesia yang dijangka dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra pada September ini bagi memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama global.

Sebagai langkah memperluaskan kehadiran Perlis di Sumatera Utara, cadangan penubuhan Anjung Perlis @ UMSU atau “Ruang Faizuddin” di Auditorium Berkemajuan UMSU turut diketengahkan sebagai pusat promosi dan penyebaran maklumat negeri itu.

UMSU juga dicadang memainkan peranan sebagai “Duta Perlis” di wilayah berkenaan bagi mempertingkat kerjasama diplomatik dan ekonomi secara berterusan.

Dalam bidang akademik, kedua-dua pihak turut bersetuju memperkasa pelaksanaan projek Kajian Peradaban Melayu melibatkan Perlis dan Sumatera Utara dengan fokus terhadap pemeliharaan warisan, pemikiran dan nilai-nilai serantau.

Dari sudut pembangunan strategik pula, beberapa bidang kerjasama utama dikenal pasti termasuk pengukuhan sektor semikonduktor dengan sokongan kepakaran Universiti Malaysia Perlis selaras dasar industri Indonesia.

Kerjasama itu turut melibatkan pemantapan teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform FCoEE, khidmat kepakaran UniMAP dalam pembangunan kawasan industri di Sumatera Utara serta penerokaan kerjasama sektor pertanian dan perikanan membabitkan rantaian bekalan koko, sawit dan industri perikanan.

Selain itu, kerjasama berkenaan turut diperluaskan melalui cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kajian Asnaf di Sumatera Utara, pengaktifan Majlis Ilmuan Nusantara bagi penyelarasan fatwa dan pemikiran kontemporari serta penubuhan Majlis Kerjasama Pendidikan Tinggi melibatkan UMSU, UMAM dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin.

Kedudukan strategik Perlis dan Medan yang saling berdekatan dilihat sebagai kelebihan signifikan dalam memperkukuh jaringan rentas sempadan sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai sektor.

Keseluruhannya, kerjasama erat itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi dan ekonomi serantau yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.