Raja Muda Perlis Rasmi Perlis Showcase 2026 di Kuala Lumpur

Raja Muda Perlis Rasmi Perlis Showcase 2026 di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program Perlis Showcase 2026 bertemakan “Dari Sempadan ke Kota Raya” yang berlangsung di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA), di sini hari ini.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dusuki dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Program Perlis Showcase 2026 merupakan program jualan dan pameran berskala besar anjuran MARA Negeri Perlis dengan kerjasama usahawan tempatan yang berlangsung mulai 20 hingga 22 Mei 2026 dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang.

Penganjuran program tersebut diadakan bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2026 bagi mengetengahkan keunikan negeri Perlis termasuk produk ikonik, warisan budaya, makanan tradisional serta potensi pelancongan negeri kepada masyarakat di ibu kota.

Program itu turut menjadi platform strategik dalam memperluaskan akses pasaran usahawan bimbingan MARA Perlis ke peringkat nasional sekali gus memperkukuhkan daya saing produk tempatan serta membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas dan mampan.

Antara tarikan utama yang disediakan kali ini ialah Malaysia x Thailand Food Street yang menampilkan pelbagai hidangan viral utara dan menu autentik Thailand seperti Kaitod Deycha dan Dimsum Chabura dari Hat Yai.

Turut menjadi tumpuan ialah House of Harum Manis yang menawarkan mangga Harumanis Perlis gred premium terus dari ladang, selain Laksa Kuala Perlis dan pelbagai jenis makanan jalanan popular.

Program berkenaan turut menampilkan Padang Besar Street yang menghimpunkan pelbagai produk sempadan termasuk pakaian, makanan ringan dan barangan pengguna, selain Kuala Perlis Street yang menawarkan produk autentik tempatan seperti ikan kering, bilis dan makanan laut tradisional.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai acara interaktif dan persembahan kebudayaan menerusi Pentas Kebudayaan dan Pertandingan yang menampilkan Pertandingan Seni Silat Tari bertemakan Hari Warisan Nusantara, Bridal World Heritage, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan karaoke peringkat MARA serta demonstrasi masakan Thailand.

Bagi menarik penyertaan generasi muda, pihak penganjur turut mengadakan Best Video TikTok Challenge sepanjang program berlangsung.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.