MAIPs Peduli Perkukuh Agenda Kebajikan, Raja Muda Perlis Titah Umat Celik Teknologi

MAIPs Peduli Perkukuh Agenda Kebajikan, Raja Muda Perlis Titah Umat Celik Teknologi

KUALA PERLIS, 21 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan seluruh umat di negeri ini agar bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia yang semakin pesat dengan memanfaatkan teknologi sebagai medium menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran.

Baginda bertitah, generasi masa kini perlu memiliki pemikiran kritis, kreatif dan inovatif supaya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi sekali gus menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

Titah baginda dizahirkan selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli Khas anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Tok Kuning dan Kampung Kota Kayang, Kuala Perlis baru-baru ini.

Program kayuhan pada edisi kali ini turut disifatkan istimewa apabila disertai para penerima Anugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perlis sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Antara lokasi yang disinggahi sepanjang program berkenaan ialah Muzium Marhum Kota Kayang, Rumah Hijau, Makam Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Pusat Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis.

Melalui program tersebut, para peserta berpeluang menyaksikan sendiri pelaksanaan inisiatif kebajikan MAIPs yang menyalurkan bantuan secara terus kepada asnaf terpilih dan golongan memerlukan.

Selain itu, program berkenaan turut membuka ruang kepada peserta mendekati masyarakat, menyelami kehidupan mereka serta memahami cabaran harian yang dihadapi sebelum mencari pendekatan dan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup golongan terbabit.

Sempena program kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada beberapa asnaf terpilih berupa wang tunai RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.

Turut disampaikan ialah sumbangan ikhlas peribadi daripada sebahagian tetamu yang menyertai program berkenaan.

Antara penerima bantuan ialah Siti Hawa Bakar, 74, dari Kampung Bangsal Lebah; Muhammad Afif Mansor, 35, dari Kampung Kota Kayang dan Timan Kasih, 79, dari kampung yang sama.

Program Kayuhan MAIPs Peduli terus menjadi platform signifikan dalam memperkukuh agenda kebajikan dan keprihatinan sosial MAIPs di samping mendekatkan institusi berkenaan dengan masyarakat khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan perhatian serta bantuan berterusan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.