Banjaran Nakawan Perlu Terus Dipelihara Sebagai “Nadi Bumi Perlis” — Raja Perlis

Banjaran Nakawan perlu terus dipelihara sebagai “Nadi Bumi Perlis” — Raja Perlis

KANGAR, 24 Mei 2026 — Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Banjaran Nakawan terus dipelihara sebagai “Nadi Bumi Perlis”, lambang keindahan alam semula jadi serta kekuatan warisan negeri yang amat bernilai untuk generasi kini dan akan datang.

Baginda menzahirkan harapan agar segala usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari yang dilaksanakan mampu membawa manfaat berpanjangan kepada rakyat selain mengangkat Perlis sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia.

Demikian teks titah ucapan Tuanku Syed Sirajuddin yang dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mewakili baginda sempena Majlis Pelancaran Penerbitan dan Dokumentari “NAKAWAN – The Living Soul of Perlis / Nadi Bumi Perlis” di Hotel Seri Malaysia Kangar di sini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Pengerusi Eksekutif MY-US Group, Datuk Nellsen Young; Ketua Projek Penerbitan dan Dokumentari khas berkenaan, Peter Ong; serta Pengarah Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Baizuri Baharum.

Menurut baginda, usaha dokumentasi tersebut memainkan peranan penting bagi memastikan warisan ilmu dan kisah Banjaran Nakawan terus direkodkan serta diwariskan kepada generasi masa hadapan.

Baginda turut menghargai penerbitan buku dan dokumentari berkenaan kerana bukan sahaja memperlihatkan keindahan alam Perlis, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sebenar Banjaran Nakawan.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Smart Leisure Travels dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network, Perlis Nature Xplorer dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

“NAKAWAN – The Living Soul of Perlis / Nadi Bumi Perlis” merupakan projek dokumentari alam semula jadi dan budaya yang mengetengahkan kepentingan Banjaran Nakawan sebagai nadi ekosistem serta warisan sosiobudaya negeri itu.

Dokumentari terbitan Roots & Shoots Malaysia tersebut menelusuri perjalanan sepanjang 36 kilometer banjaran batu kapur tertua di Malaysia bermula dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis.

Ia turut memaparkan siri penceritaan menyentuh kehidupan masyarakat setempat, tradisi warisan serta keunikan landskap semula jadi yang subur di sekitar Banjaran Nakawan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan projek berkenaan khususnya Peter Ong, Syamil Abd Rahman, Myles Storey, Adam Hogg, Jennifer P. Linggi serta para pemimpin komuniti tempatan yang memainkan peranan penting dalam usaha dokumentasi tersebut.

Baginda juga merakamkan penghargaan kepada organisasi yang menyokong projek itu termasuk Roots & Shoots Malaysia, The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network, Kementerian Kewangan Malaysia, Yayasan Hasanah, Manulife Malaysia dan Canon Malaysia.

Pujian turut diberikan kepada komuniti tempatan antaranya Perlis Nature Explorers, komuniti Kaki Bukit, Kuala Perlis dan Timah Tasoh serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atas komitmen berterusan dalam memelihara khazanah alam dan warisan negeri.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.