ARAU, 27 Mei 2026 – Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Dataran Istiadat Istana Arau pagi ini.
Berangkat sama anakanda-anakanda puteri Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Lebih 1,200 jemaah terdiri daripada anak kariah Kota Raja Arau, rakyat negeri Perlis serta umat Islam pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan Aidiladha dalam suasana penuh kesyukuran, perpaduan dan semangat ukhuwah Islamiah.
Solat Sunat Aidiladha itu diimamkan oleh Imam Besar Negeri Perlis, Amnan Muthqa Azanol, manakala khutbah Aidiladha bertajuk “Pengorbanan Memajukan Umat Islam” disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sambutan Aidiladha terus menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuhkan penghayatan nilai keikhlasan, ketaatan dan semangat pengorbanan dalam kehidupan seharian.
Baginda turut bertitah bahawa nilai-nilai murni tersebut menjadi pemangkin dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan berdaya maju, di samping terus mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Baginda sekeluarga turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat negeri Perlis.
(Foto: Istana Arau)
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia