ARAU, 27 Mei 2026 — Aidiladha bukan sekadar sebuah perayaan, sebaliknya menjadi lambang ketaatan, pengorbanan dan kasih sesama insan yang perlu terus dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.
Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bertitah, di sebalik gema takbir dan suasana penuh kesyukuran sempena Aidiladha, tersirat nilai keikhlasan serta pengertian bahawa kebersamaan dan silaturrahim merupakan nikmat yang amat besar nilainya.
Baginda turut menzahirkan bahawa nikmat kesihatan dan peluang untuk bersama insan tersayang adalah anugerah yang tidak ternilai, justeru seluruh masyarakat diseru agar terus memperkukuhkan rasa syukur, mempererat tali persaudaraan serta menyemai nilai ihsan dan saling menghargai antara satu sama lain.
Demikian titah Baginda sempena Majlis Santapan Tengah Hari Hari Raya Aidiladha yang dihoskan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Raja Perempuan Perlis di Istana Arau semalam.
Teks titah ucapan Baginda dibacakan oleh Setiausaha Sulit Tuanku Raja Perlis pada majlis berkenaan.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Pada kesempatan sama, Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis turut menitahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Perlis, kaum kerabat dan rakan taulan.
Baginda berdua menzahirkan harapan agar sambutan Aidiladha yang penuh keberkatan itu dapat membawa ketenangan jiwa, memperkukuhkan perpaduan serta menyuburkan hubungan silaturrahim walau di mana sahaja berada.
Sejurus selesai majlis, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan meluangkan masa berfoto kenangan bersama warga kerja Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis yang sedang melaksanakan kerja-kerja memotong, menimbang dan membungkus daging lembu.
Sebanyak tiga ekor lembu disumbangkan sempena program tersebut melibatkan seekor sumbangan Kerajaan Negeri Perlis dan dua ekor lagi hasil sumbangan Datuk Seri Adam Sani Abdullah daripada Atlan Holdings Bhd.
Selain itu, turut disediakan hidangan sup daging dan Kurma Daging Perlis untuk dinikmati bersama sempena sambutan Aidiladha berkenaan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia