PADANG BESAR, 29 Mei – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menziarahi serta melawat dua mangsa kebakaran yang berlaku di sekitar Padang Besar dalam tempoh beberapa hari lalu.
Hadir sama mengiringi keberangkatan Baginda berdua ialah para pegawai daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.
Mangsa pertama yang diziarahi ialah Md Khari Kamis di Kampung Kok Mak yang terlibat dalam kebakaran pada petang Hari Raya Aidiladha ketika beliau sedang berehat selepas pulang daripada menjalankan kerja-kerja ibadah korban.
Mangsa kedua pula ialah Rusemiliawarni Ramli di Felcra Lubuk Sireh yang mengalami musibah kebakaran pada Khamis ketika beliau sekeluarga tiada di rumah kerana menghadiri satu majlis perkahwinan.
Dalam lawatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan awal daripada MAIPs bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh kedua-dua mangsa.
Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu memenuhi keperluan segera mangsa selain menjadi simbol sokongan berterusan MAIPs dalam memastikan kebajikan umat Islam di negeri ini sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan ujian dan musibah.
Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar kedua-dua mangsa serta keluarga masing-masing terus diberikan ketabahan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam membina semula kehidupan pasca kebakaran.
(Foto: MAIPs)
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia