Raja Perlis mahu MB diberi ruang pimpin hingga habis penggal

Raja Perlis mahu MB diberi ruang pimpin hingga habis penggal

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mahu Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah diberikan ruang untuk terus memimpin Perlis sehingga tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahawa pentadbiran negeri ketika ini adalah kerajaan negeri pilihan baginda.

Baginda bertitah, kestabilan politik adalah kriteria penting yang memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Perlis.

“Justeru beta menyeru ahli Yang Berhormat sekalian mengenepikan ego masing-masing dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri. Beta ingin mengingatkan ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan beta.

“Justeru, beta berharap agar Memanda Menteri Besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal DUN yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang telah dirangka,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penggal Persidangan Keempat DUN Perlis Ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin turut meminta semua ADUN memberikan kerjasama erat dan berterusan kepada Menteri Besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

Baginda bertitah, segala perbezaan pandangan dan pertelagahan perlu diselesaikan dengan penuh berhemah serta harmoni.

“Ahli Yang Berhormat diingatkan untuk meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi. Sidang DUN ini wajar dimanfaatkan sebagai platform terbaik menjana idea baharu, bernas dan konstruktif ke arah memajukan negeri serta memperkukuh kesejahteraan rakyat secara berterusan dan bukannya sebagai medan bercakaran atau bertikam lidah.

“Berhujah dan berbahaslah dengan penuh kebijaksanaan tanpa terpengaruh dengan desakan emosi. Sentiasalah beringat bahawa generasi muda sedang memerhatikan setiap gelagat ahli Yang Berhormat sekalian,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut mengingatkan kerajaan negeri agar memikul amanah besar dalam merangka dasar yang menjurus kepada pembangunan seimbang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Titah baginda, pembangunan yang dilaksanakan tidak seharusnya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati hasil kemakmuran negeri secara adil dan saksama.

“Dalam masa yang sama, beta ingin mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, tetapi turut memerlukan kesungguhan dan iltizam rakyat.

“Rakyat perlu terus berusaha memperkukuh keupayaan ekonomi masing-masing di samping meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mampu berdaya saing,” titah baginda.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.