Oleh: Sholina Osman
4 JUN 2026
Unik. Ia wujud di Perlis. Kubah masjid tidak lagi berbentuk bulat yang sekian lama menjadi identiti mana-mana masjid tetapi kini ia muncul dengan wajah baharu iaitu berbentuk tengkolok.
Kubah tengkolok ini hanya terdapat di Masjid Sirajuddin di Kampung Padang Pauh, Kangar.
Baharu beberapa hari ia dipasang, ia telah membuatkan orang ramai yang melalui Kilometer 4, Jalan Kaki Bukit tertoleh-toleh untuk melihat kubah berbentuk tengkolok pada masjid yang hampir selesai bagi kerja-kerja membaik pulih.
PUTRA JULANG DARJAT
Sekaligus ia menjadi masjid pertama di Perlis yang mengabadikan replika Tengkolok “Putra Julang Darjat iaitu tengkolok rasmi Perlis sebagai kubah baharu di masjid berkenaan.
Tengkolok “Putra Julang Darjat” ini adalah satu inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam mengangkat Adat Istiadat Melayu Perlis.
Ia dilancarkan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau pada 4 September 2019 dan Baginda berkenan untuk menamakan Tengkolok Rasmi Perlis ini sebagai “Putra Julang Darjat”.
SEMPENA NAMA RAJA
Sesuai sangat masjid ini “bertengkolok” kerana namanya juga sempena nama Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Pengerusi masjid berkenaan Ustaz Mohd Umar Ahmad berkata cadangan replika tengkolok rasmi Perlis diletak sebagai kubah ini telah dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada tahun lepas semasa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin menunaikan solat Jumaat terakhir sebelum masjid ini ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih.
Beliau berkata idea ini dipanjangkan di mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) yang akur dengan cadangan ini serta dimaklumkan kepada MAIPs.
SATU MERCU TANDA
Mohd Umar berkata, beliau dan pihak masjid berpuas hati kerana akhirnya tengkolok ini menjadi satu mercu tanda baharu kepada masjid ini.
“Kami semua sebagai rakyat berbangga kerana tengkolok ini dapat diabadikan di masjid ini sempena Pemerintahan 25 Tahun Raja Perlis,” kata beliau ketika ditemui wartawan Jendela Madani hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata replika Tengkolok “Putra Julang Darjat” yang dijadikan sebagai kubah di Masjid Sirajuddin adalah menepati reka bentuk asal.
TENGKOLOK YANG DIPAKAI
Jelas beliau pemilihan ikatan berkenaan adalah diambil daripada ikatan tengkolok yang dipakai oleh
Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Raja Perlis pada tahun 1949.
“Ikatan sama telah dipakai oleh Almarhum ketika Majlis Menandatangani Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu di King’s House Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957,” kata Mohd Nazim.
Mohd Nazim berkata ikatan sama turut dipakai oleh Tuanku Syed Sirajuddin ketika Majlis Perkahwinan DiRaja antara Baginda dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, berlangsung di Istana Arau pada 18 & 19 Februari 1967.
Jelas Mohd Nazim tengkolok “Putra Julang Darjat” adalah signifikan kepada kekuatan dan usaha si pemakai dalam meningkatkan nilai positif dalam dirinya.
“Ejaan “Putra” adalah mengabadikan nama Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Putra juga membawa makna seorang lelaki. Dengan usaha dan izin Tuhan, maka seseorang boleh meningkatkan pencapaian dirinya,” kata Mohd Nazim. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia