Raja Perempuan Perlis Sambut Ulang Tahun Keputeraan Ke-80

Raja Perempuan Perlis Sambut Ulang Tahun Keputeraan Ke 80

KANGAR, 7 Jun – Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-80 pada 6 Jun 2026.

Bersempena sambutan bersejarah itu, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Baginda berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini.

Turut berangkat ialah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri-puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tun Datuk Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Datuk Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.

Diputerakan pada 6 Jun 1946 di Kota Bharu, Kelantan, Tuanku Tengku Fauziah berasal daripada keturunan diraja Kelantan dan Terengganu. Baginda melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 15 Februari 1967 ketika Tuanku Raja Perlis masih berkhidmat sebagai pegawai tentera dalam Kor Peninjau DiRaja, yang kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja.

Pada 30 April 1968, Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Puan Muda Perlis. Setelah Tuanku Syed Sirajuddin menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 31 Disember 1969, pasangan diraja tersebut kembali bersemayam sepenuhnya di Perlis.

Peranan dan sumbangan Baginda terus berkembang apabila dimasyhurkan sebagai Raja Perempuan Perlis pada 14 Julai 2000. Baginda turut melakar sejarah negara apabila menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Malaysia sepanjang tempoh lima tahun bermula 2001 hingga 2006.

Sambutan Hari Keputeraan ke-80 ini mencerminkan kasih sayang, penghargaan dan penghormatan rakyat terhadap Raja Perempuan Perlis yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat serta pembangunan negeri Perlis.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh istiadat dan kemesraan itu menjadi simbol penghormatan kepada seorang Raja Perempuan yang telah banyak menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, negeri dan negara sepanjang tempoh pemerintahan Baginda. — Suara Merdeka.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.