Pelajar Columbia University Terpesona Keunikan Perlis

Pelajar Columbia University Terpesona Keunikan Perlis

KANGAR, 7 Jun 2026 – Keindahan alam semula jadi, warisan budaya yang unik serta keramahan masyarakat tempatan terus mengangkat Perlis sebagai destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, empat pelajar peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Columbia Business School iaitu Jaime Murillo Murillo, Javier Marazuela Martinez, Clara de Lapuerta Fernández dan Miriam Fernandez Ruiz mengadakan lawatan eksplorasi ke negeri ini bersama Penasihat Yayasan Hasanah, Dr. Azimah Pilus.

Program yang dijayakan menerusi Yayasan Hasanah dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) itu bertujuan mendalami keunikan budaya, warisan, pendidikan serta produk pelancongan yang ditawarkan oleh Perlis.

Sepanjang lawatan, delegasi berkenaan berpeluang berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama warga Universiti Malaysia Perlis dan Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Mereka turut menyertai pelbagai program komuniti dan kebudayaan yang mencerminkan identiti unik negeri ini termasuk Majlis Malam Citrawarna Kuala Perlis, Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai serta lawatan ke Kampung Wai.

Pengalaman di Perlis turut diperkaya dengan peluang menikmati sajian autentik negeri ini apabila rombongan berkunjung ke Nyiru Klasik bagi merasai hidangan ikan bakar Kuala Perlis yang terkenal.

Pada hari kedua, mereka meneruskan eksplorasi ke beberapa destinasi ikonik termasuk Gua Kelam yang terkenal dengan keunikan formasi batu kapurnya serta Club Rock Gua Kelam yang kini muncul sebagai lokasi rekreasi baharu.

Delegasi turut melawat Padang Besar bagi melihat sendiri aktiviti ekonomi sempadan sebelum menyertai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli yang menggabungkan elemen kesihatan, kebajikan dan kemasyarakatan melalui kunjungan ke rumah-rumah asnaf terpilih.

Lawatan berkenaan diakhiri dengan kehadiran mereka ke Program Malam Kilauan Cahaya Istana Arau yang mempamerkan keindahan seni pencahayaan serta landskap istana, sekali gus meninggalkan kenangan bermakna kepada para pelawat antarabangsa tersebut.

Kemuncak program ialah sesi menghadap dan bertukar pandangan bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Arau.

Menariknya, Baginda berdua mempunyai hubungan istimewa dengan Sepanyol apabila pernah bermastautin di Madrid antara tahun 1995 hingga 1998 ketika Raja Muda Perlis berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Sepanyol, Portugal dan Afrika Utara bagi Malaysia Airlines⁠.

Kunjungan tersebut membuktikan Perlis bukan sahaja kaya dengan khazanah alam dan warisan budaya, malah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi yang menawarkan pengalaman autentik berasaskan komuniti, pendidikan dan kelestarian kepada pelawat dari seluruh dunia.

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.