Pendidikan wadah bentuk insan sejahtera – Raja Perlis

Pendidikan wadah bentuk insan sejahtera – Raja Perlis

KANGAR, 10 Jun – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah proses pendidikan di negara ini tidak seharusnya bersifat mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pemangkin utama dalam melahirkan insan sejahtera yang seimbang selaras dengan hasrat Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

Baginda menekankan bahawa generasi muda hari ini perlu dilengkapi dengan ilmu yang bermanfaat serta dihiasi peribadi dengan akhlak dan budi pekerti yang luhur agar mereka mampu mencorakkan masa depan yang gemilang.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah perhatian sewajarnya juga perlu diberikan kepada usaha meningkatkan pencapaian murid secara menyeluruh, merangkumi aspek ilmu, kemahiran dan pembentukan nilai karamah insaniah.

“Isu literasi dan numerasi juga hendaklah terus ditangani secara berfokus agar setiap murid menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sejak di bangku sekolah rendah,” titah baginda pada Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Dewan Serbaguna, JPN Perlis di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dengan diiringi Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan JPN Perlis dan seluruh institusi pendidikan di negeri itu supaya memperkukuh jaringan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik daripada sektor kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti.

Baginda titah, sinergi berkenaan akan membuka lebih banyak ruang kepada perkongsian kepakaran, inovasi dan peluang yang dapat memperkasa mutu pendidikan negeri Perlis.

Mengenai kompleks baharu JPN Perlis, baginda menzahirkan keyakinan bahawa kemudahan yang lengkap dan moden itu bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu, malah berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang penting dalam memperkukuh pengurusan pendidikan serta melonjakkan kecemerlangan murid.

Bersempena majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Guru 2026 dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2026 Peringkat Negeri Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.