KUALA PERLIS, 9 Jun – Rangka kawal selia yang telus dan dasar ekonomi yang stabil merupakan kunci utama untuk menarik pelaburan jangka panjang ke Perlis, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, kestabilan ekonomi jangka panjang tidak boleh dikorbankan demi kepentingan jangka pendek kerana keyakinan pelabur banyak bergantung kepada kejelasan dasar serta keupayaan sesebuah negeri mengekalkan persekitaran ekonomi yang mampan.
Menurut baginda, terdapat tiga teras utama yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan ekonomi Perlis iaitu sistem kawal selia yang telus dan konsisten bagi memudahkan pelabur membuat perancangan, pengurusan kewangan yang berdisiplin serta berpandukan pelan jangka panjang, dan pengukuhan institusi bagi memastikan kestabilan makroekonomi serta kawalan harga yang berkesan.
“Adakalanya keputusan yang sukar atau trade-off perlu dibuat demi menjamin masa depan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengetuai Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Kurung Tengar, dekat sini, baru-baru ini.
Program tersebut turut disertai empat pelajar peringkat M.B.A. dari Columbia Business School, New York, Amerika Syarikat yang berada di Perlis menerusi program anjuran Yayasan Hasanah dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra.
Dalam program berkenaan, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan bantuan agihan zakat kepada tiga penerima iaitu Azis Kasa, 59, dari Kampung Kurung Tengar, Nah Jaya, 87, dari Kampung Tok Kaya dan Setemenah Putung @ Munah Hashim dari Kampung Padang Besar (Selatan).
Baginda turut menzahirkan harapan agar semangat kebersamaan dan nilai ihsan terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat bagi membina komuniti yang lebih sejahtera dan penyayang.
Sokong Pelancongan Tempatan
Dalam program yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melawat Chalet Kurung Tengar sebagai tanda sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026.
Menurut pengusahanya, Ahmad Naim Abdul Latif, chalet berkenaan menawarkan 28 bilik penginapan dengan pilihan pemandangan daratan dan laut yang sesuai untuk percutian keluarga, program korporat serta aktiviti rekreasi.
Selain kemudahan penginapan, lokasi itu turut menawarkan pelbagai aktiviti sukan air, rekreasi pantai dan program santai hujung minggu yang semakin mendapat sambutan pengunjung.
Tarikan Unik Komuniti Burung Kakak Tua
Baginda turut meluangkan masa bersama komuniti Perlis Parrot Free Fly, yang aktif menjalankan latihan penerbangan bebas untuk burung kakak tua peliharaan mereka.
Melalui latihan khusus, burung-burung tersebut mampu terbang bebas sebelum kembali semula kepada pemilik masing-masing berdasarkan arahan suara atau bunyi wisel.
Aktiviti unik itu dilihat berpotensi diketengahkan sebagai produk rekreasi komuniti dan pelancongan baharu yang mampu menarik minat pelancong dari dalam serta luar negara.
Foto: MAIPs.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia