PKM KEMAS Padang Besar Perkasa Komuniti Melalui Pendidikan dan Latihan Kemahiran

PKM KEMAS Padang Besar Perkasa Komuniti Melalui Pendidikan dan Latihan Kemahiran

KANGAR, 10 Jun 2026 – Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Parlimen Padang Besar terus berperanan sebagai pusat pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti, pendidikan serta latihan kemahiran yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

Pengarah KEMAS Negeri Perlis, Mohamad Zaki Haji Ismail berkata, pelbagai program yang dilaksanakan KEMAS bertujuan memperkasakan masyarakat melalui pembangunan kemahiran, peningkatan taraf ekonomi dan pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, KEMAS Perlis mempunyai seramai 298 warga kerja yang sentiasa komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab bagi memastikan setiap program serta perkhidmatan dapat dinikmati masyarakat dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Program Kayuhan KEMAS-MAIPs Peduli di sekitar Padang Besar.

Turut berangkat ialah Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Program Kayuhan KEMAS-MAIPs Peduli merupakan inisiatif kayuhan basikal yang diterajui sendiri oleh Raja Muda Perlis dengan kerjasama KEMAS Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Program berkenaan menjadi platform turun padang untuk menyantuni masyarakat setempat di samping menyalurkan bantuan zakat secara terus kepada golongan yang memerlukan.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Intan Daros, 73, dari Kampung Alor Tampang, Matt Ali Matt Isa, 67, dan Asri Matt Rose, 52, yang turut berasal dari kampung yang sama.

Baginda turut berkenan melawat PKM Alor Tampang bagi meninjau aktiviti yang dijalankan di Bengkel Jahitan KEMAS dan Bengkel Seni Tangan KEMAS yang menjadi antara platform pembangunan kemahiran serta penjanaan pendapatan komuniti setempat.

Program seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan KEMAS dan MAIPs dalam memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan turun padang yang menyeluruh, sekali gus memastikan manfaat pembangunan, pendidikan dan kebajikan dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang memerlukan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.