Raja Muda Perlis: Guru perlu jadi murabbi bentuk jati diri generasi muda

Raja Muda Perlis Guru perlu jadi murabbi bentuk jati diri generasi muda

KUALA PERLIS, 10 Julai – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu atau “pengajar”, sebaliknya berperanan sebagai pendidik dan pembentuk jati diri atau murabbi yang bertanggungjawab melahirkan generasi berakhlak mulia.

Baginda bertitah, guru memainkan peranan penting sebagai teladan (role model) dengan mempamerkan akhlak yang baik, menerapkan nilai-nilai murni dan agama dalam setiap mata pelajaran, selain memastikan pelajar berbangga dengan identiti mereka serta teguh menghadapi pengaruh negatif.

Menurut baginda, pendidikan bersepadu yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pengukuhan agama merupakan kunci melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya di dunia, malah memperoleh kesejahteraan di akhirat.

“Ia merupakan usaha kolektif yang memerlukan kerjasama erat antara institusi pendidikan, guru dan pelajar sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis di sekitar Padang Besar Selatan dan Kuala Perlis baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Program Kayuhan MAIPs Peduli merupakan antara inisiatif MAIPs yang menggabungkan aktiviti riadah dengan usaha kebajikan menerusi penyampaian bantuan kepada golongan asnaf, selain mengeratkan hubungan antara institusi itu dengan masyarakat setempat.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima asnaf iaitu Ah Mat Akil, 93, dari Kampung Kuala Tunggang, Rosemi Abdul Manap, 65, dari Kampung Ramba dan Wan Rohaizi Wan Ismail, 42, dari Kampung Belukar Pauh.

Dalam lawatan sama, baginda turut berkenan singgah ke G.R.O. Barbershop (Gunting Rambut Orang) di Taman Bukit Kubu Jaya, Kuala Perlis.

Premis berkenaan merupakan perusahaan tempatan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dandanan rambut lelaki pada harga berpatutan, termasuk potongan rambut klasik dan moden seperti fade, undercut serta textured crop, selain perkhidmatan cukuran janggut, cucian rambut dan penggayaan.

Keberangkatan baginda ke premis tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi komuniti serta memperkasa usahawan yang menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.