PUTRAJAYA, 13 Julai 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Malam Santai Putrajaya yang diadakan di sekitar Putrajaya sempena persaraan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin sebelum program kayuhan dimulakan.
Program itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Dr. Mohd Uzir sepanjang menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), selain menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta serta mendekatkan mereka dengan masyarakat melalui beberapa hentian sepanjang laluan kayuhan.
Hentian pertama berlangsung di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Presint 1, Putrajaya, apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan beramah mesra bersama para pelajar, khususnya kumpulan pemuzik orkestra sekolah yang bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan bertaraf antarabangsa di Amsterdam, Belanda pada penghujung bulan ini. AsiaTenggara & Kepulauan Pasifik
Baginda turut beramah mesra dengan warga sekolah dalam suasana penuh mesra yang mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan generasi muda serta peranan institusi pendidikan dalam melahirkan modal insan berilmu, berdaya saing dan berwawasan.
Kayuhan kemudian diteruskan ke Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya, sebuah lokasi ikonik yang terkenal dengan keunikan seni bina Maghribi menerusi ukiran kayu dan batu yang halus, selain dihiasi landskap berinspirasikan padang pasir serta deretan pokok palma yang menambahkan keindahan persekitarannya.
Rombongan seterusnya singgah di Surau Ar-Rahman, Presint 16, di mana Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan beramah mesra bersama ahli jawatankuasa dan anak-anak kariah.
Baginda turut menyaksikan penyampaian sumbangan ikhlas daripada Dr. Mohd Uzir kepada wakil Surau Ar-Rahman serta 10 anak kariah yang memerlukan sebagai simbol penghargaan dan tanggungjawab sosial terhadap komuniti setempat.
Program Kayuhan Malam Santai Putrajaya berakhir di Dewan Kejiranan Presint 16 dalam suasana penuh harmoni, muhibah dan semangat kebersamaan, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara institusi diraja, penjawat awam dan masyarakat.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia