Simpang Empat – Negeri Perlis wajar dipromosikan sebagai pusat keilmuan Islam yang progresif, inklusif dan sederhana sehingga peringkat antarabangsa.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai langkah awal ke arah merealisasikan hasrat tersebut, barisan pakar ekonomi Islam dari dalam negara, peringkat serantau, mahupun antarabangsa seharusnya diundang ke negeri itu.
“Kehadiran mereka amat penting bagi membincangkan serta merungkaikan pelbagai isu kewangan kontemporari yang melanda umat Islam masa ini.
“Langkah strategik ini dijangka mampu meletakkan Perlis sebagai sebuah medan rujukan yang dinamik untuk mendepani cabaran ekonomi moden berasaskan syariah,” titahnya dalam Program Hijrah Minda di Masjid al-Hidayah Titi Beratap.
Dalam program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berjumlah kewangan RM105,000 kepada 150 orang penerima.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak 75 orang penerima terdiri daripada anak kariah Titi Beratap, manakala 75 orang lagi merupakan anak kariah Sungai Bugis.
Selain itu, antara pengisian lain yang dianjurkan dalam program itu termasuklah sesi Bangun Jiwa Asnaf MAIPs dan ceramah berkaitan dengan Pendidikan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Keberangkatan baginda ke majlis tersebut turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Penganjuran Program Hijrah Minda bertujuan untuk memastikan kebajikan golongan asnaf terus diperkasakan secara menyeluruh menerusi pendekatan penyaluran bantuan kewangan, pembangunan modal insan, pengukuhan nilai Islam dan kesejahteraan ummah.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia