Raja Muda Perlis sempurna penyerahan bendera kepada atlet muda wakil Malaysia ke kejohanan besbol dunia

Raja Muda Perlis sempurna penyerahan bendera kepada atlet muda wakil Malaysia ke kejohanan besbol dunia

KANGAR, 18 Julai – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penaung Persekutuan Besbol Malaysia berkenan menyempurnakan majlis penyerahan Bendera Malaysia dan Bendera Perlis kepada atlet muda, Nur Raisya Adelya Sofea Suwardi, sebagai simbol sokongan dan penghargaan menjelang penyertaannya ke 32nd World Children’s Baseball Fair 2026 di Narita, Wilayah Chiba, Jepun.

Majlis yang berlangsung di perkarangan Astaka Dataran Masjid Alwi di sini itu menjadi detik bermakna buat Nur Raisya Adelya Sofea, 11, yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan berprestij tersebut dari 30 Julai hingga 7 Ogos 2026.

Murid Sekolah Kebangsaan Paya, Kangar itu merupakan antara lima atlet muda yang dipilih mewakili negara ke kejohanan berkenaan, sekali gus membuktikan bakat serta potensi atlet muda Malaysia untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Majlis penyerahan bendera itu bukan sahaja melambangkan kepercayaan dan harapan negara terhadap Nur Raisya, malah menjadi suntikan semangat kepada beliau untuk memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Pada majlis sama, Nur Raisya turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sebagai tanda galakan dan penghargaan atas kejayaan beliau mengharumkan nama Perlis dan Malaysia.

Pemilihan Nur Raisya bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga serta warga Sekolah Kebangsaan Paya, malah mengangkat nama Perlis sebagai negeri yang berjaya melahirkan atlet muda berbakat sehingga diberi kepercayaan mewakili negara di peringkat dunia.

Kejayaan itu mencerminkan hasil usaha gigih, disiplin dan komitmen tinggi yang ditunjukkan beliau dalam bidang sukan, di samping membuktikan bahawa anak-anak Perlis mampu mencapai kecemerlangan apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang berterusan.

Penyertaan Nur Raisya ke 32nd World Children’s Baseball Fair 2026 diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar serta atlet muda untuk terus mengejar kecemerlangan dan berani membawa nama negeri serta negara ke persada antarabangsa.

Untuk rekod, hanya 14 negara dipilih menyertai kejohanan berprestij itu, dengan Malaysia diberikan penghormatan menghantar lima atlet muda, termasuk Nur Raisya Adelya Sofea Suwardi sebagai salah seorang wakil negara.

Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.