Raja Muda Perlis Cadang Hospital Aurelius Dibina Di Perlis

Raja Muda Perlis Cadang Hospital Aurelius Dibina Di Perlis

ARAU, 24 Julai – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar Aurelius Healthcare meneroka potensi membangunkan sebuah Hospital Aurelius di Perlis bagi memperkukuhkan akses rakyat negeri itu kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Cadangan tersebut dizahirkan Baginda ketika berkenan menerima mengadap Pengerusi Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah di Istana Arau, hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Delegasi Aurelius Healthcare turut disertai Pengarah Perubatan Kumpulan (Malaysia), Dr. Terence Leslie De Silva; Ketua Pegawai Eksekutif Aurelius Hospital Alor Setar, Dr. Ahmad Syamir Abdullah; serta Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kumpulan, Adeline Abdul Ghani.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam sesi mengadap itu, Aurelius Healthcare memaklumkan pelaksanaan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Perlis bagi tahun 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM70,000.

Peruntukan tersebut meliputi pembiayaan rawatan katarak untuk lima pesakit, prosedur Arteriovenous Fistula (AVF) bagi lima pesakit buah pinggang, Program Outreach Komuniti: Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang serta penajaan RM10,000 bagi Kejohanan Dunia Woodball Ke-10 2026.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Program Outreach Komuniti: Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang yang akan berlangsung secara berfasa dari Julai hingga Oktober 2026 melibatkan kesemua 22 mukim di Perlis.

Program yang dikendalikan Aurelius Hospital Alor Setar itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit buah pinggang kronik (CKD) melalui pendidikan kesihatan, usaha pencegahan dan pengesanan awal.

Pelbagai aktiviti dirancang termasuk ceramah pakar perunding, sesi soal jawab, edaran bahan pendidikan kesihatan serta penyediaan laluan rujukan kepada individu yang memerlukan rawatan lanjut.

Turut dibincangkan ialah cadangan memperluaskan saringan kesihatan di sekolah rendah dan menengah, khususnya pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI) serta paras gula dalam darah sebagai langkah intervensi awal bagi menangani obesiti, diabetes dan penyakit hati berlemak.

Baginda turut menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar menerusi penambahbaikan pengurusan kantin sekolah dan kempen menggalakkan pelajar membawa bekalan air putih ke sekolah.

Selain itu, perbincangan menyentuh pelaksanaan prosedur AVF untuk pesakit buah pinggang melalui dana CSR Aurelius Hospital Alor Setar dengan kerjasama MAIPs dan Unit Kerja Sosial bagi mengenal pasti penerima yang layak.

Delegasi Aurelius Healthcare turut menawarkan kerjasama dalam rawatan pesakit kanser memandangkan Aurelius Hospital Alor Setar mempunyai kepakaran dalam bidang onkologi.

Pada masa sama, Aurelius Healthcare mengesahkan penajaan RM10,000 bagi Kejohanan Dunia Woodball Ke-10 yang berlangsung dari 25 hingga 29 Julai ini di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Cadangan pembinaan Hospital Aurelius di Perlis dilihat mampu memperkukuhkan ekosistem kesihatan negeri selain melengkapkan usaha kerajaan dalam menyediakan akses rawatan pakar yang lebih dekat kepada rakyat, khususnya bagi penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.