KANGAR, 27 Julai — Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan tayangan khas filem Mojoku Hilang di Golden Screen Cinemas (GSC), Kangar Jaya Mall, hari ini.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail; serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis itu turut dihadiri barisan pelakon utama filem berkenaan termasuk Mimi Lana dan pelakon terkenal Indonesia, Adipati Dolken, selain penerbit, pengarah Min Lim serta tetamu jemputan daripada pelbagai agensi kerajaan dan penggiat industri kreatif.
Mojoku Hilang mempunyai nilai signifikan kepada Perlis apabila kira-kira 90 peratus proses penggambarannya dijalankan di pelbagai lokasi ikonik di negeri itu, sekali gus menampilkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan identiti masyarakat tempatan.
Filem tersebut turut mendapat sokongan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi memastikan elemen budaya, loghat tempatan serta identiti visual Perlis diterjemahkan secara autentik ke layar perak.
Selain mengetengahkan jalan cerita yang menyentuh emosi, karya arahan Min Lim itu dijangka menjadi medium promosi yang berkesan dalam memperkenalkan Perlis kepada khalayak lebih luas, sekali gus menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan dan industri kreatif negeri.
Penggunaan lokasi-lokasi tempatan dalam filem berpotensi mewujudkan fenomena screen tourism, iaitu kecenderungan pelancong mengunjungi destinasi yang dipaparkan dalam karya filem atau drama. Trend ini telah terbukti memberi limpahan ekonomi kepada banyak lokasi penggambaran di peringkat antarabangsa dan semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Mojoku Hilang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 23 Julai lalu dan dijangka bukan sahaja menghiburkan penonton, malah meningkatkan lagi profil Perlis sebagai destinasi pelancongan, lokasi penggambaran pilihan serta negeri yang kaya dengan warisan budaya dan keindahan alam semula jadi.