PAUH PUTRA, 27 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-25 menerusi penganjuran Mega Familia UniMAP 2026, yang berlangsung dalam suasana penuh meriah di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, menghimpunkan kira-kira 2,500 warga universiti bersama ahli keluarga masing-masing.
Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP, yang berkenan berangkat bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor UniMAP.
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Penganjuran Mega Familia UniMAP 2026 menjadi simbol penyatuan seluruh warga universiti dengan mengukuhkan semangat kekeluargaan, kebersamaan dan silaturahim yang menjadi antara teras penting dalam membina organisasi cemerlang.
Program tersebut turut diadakan sempena sambutan Jubli Perak UniMAP yang ditubuhkan pada tahun 2001 dan kini muncul sebagai antara universiti teknikal terkemuka negara, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan pendidikan berasaskan TVET.
Pada majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Monumen Jubli Perak Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2001–2026 yang terletak di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai lambang penghargaan terhadap perjalanan serta pencapaian universiti sepanjang 25 tahun penubuhannya.
Pelbagai aktiviti disusun bagi memeriahkan sambutan termasuk Bubble Walk yang turut disertai baginda berdua, jualan makanan dan minuman menerusi reruai karnival, permainan interaktif, sukaneka keluarga, rumah melompat untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah.
Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon utama filem romantik komedi “Mojoku Hilang”, Mimi Lana dan Adipati Dolken, yang meluangkan masa beramah mesra serta bergambar bersama pengunjung. Filem berkenaan menjalani sebahagian besar penggambarannya di negeri Perlis, sekali gus menjadi medium promosi pelancongan negeri.
Mega Familia UniMAP 2026 bukan sekadar platform meraikan ulang tahun penubuhan universiti, malah mencerminkan komitmen institusi itu dalam memperkukuh budaya kerja berteraskan nilai kekeluargaan, kebajikan dan kesejahteraan warga kampus. Pendekatan tersebut dilihat selari dengan aspirasi UniMAP untuk terus melahirkan modal insan berkualiti tinggi, memperkukuh hubungan dalam komuniti universiti serta mengekalkan kecemerlangan sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia