Atlet antarabangsa puji fasiliti bertaraf dunia, pengurusan cemerlang WCWC Ke-10 di Perlis

Atlet antarabangsa puji fasiliti bertaraf dunia, pengurusan cemerlang WCWC Ke 10 di Perlis

PAUH PUTRA, 28 Julai – Para pemain, pengurus pasukan dan pegawai kontinjen yang menyertai Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 (WCWC 2026) dari pelbagai negara menzahirkan rasa kagum terhadap kualiti fasiliti serta tahap pengurusan kejohanan yang disifatkan setanding penganjuran bertaraf dunia.

Mereka menyifatkan Laman Woodball di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sebagai antara gelanggang woodball kekal terbaik di dunia, dengan keadaan padang yang berada pada tahap optimum, susun atur gelanggang yang mencabar tetapi kompetitif serta penyelenggaraan yang konsisten sepanjang kejohanan.

Menurut mereka, walaupun penganjur berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu pada awal pertandingan, usaha menyediakan dan menyelenggara gelanggang sebaik sahaja tamat setiap acara membolehkan padang sentiasa berada dalam keadaan terbaik bagi menghadapi cabaran pertandingan seterusnya.

Selain venue utama, Laman Woodball di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Perlis di Arau yang dijadikan gelanggang simpanan serta lokasi latihan pra-kejohanan turut menerima pujian kerana berada dalam keadaan sangat baik.

Perkara itu dikongsikan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam sesi khas Meet & Greet sempena WCWC 2026 yang diadakan di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

Berangkat sama ialah anakanda puteri, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Mahkamah& Kehakiman

Dalam sesi tersebut, baginda berdua berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bergambar kenangan bersama para atlet, pegawai kontinjen serta pengurusan kejohanan dari seluruh dunia.

Selain memuji kemudahan sukan, para peserta turut memberikan maklum balas positif terhadap keseluruhan pengurusan kejohanan yang disifatkan tersusun, profesional dan memenuhi piawaian antarabangsa.

Mereka menyifatkan kecekapan pasukan teknikal, penyelarasan acara yang sistematik serta komitmen petugas sebagai antara faktor utama yang memastikan perjalanan pertandingan berlangsung lancar.

Kemudahan logistik yang disediakan sepanjang kejohanan juga menerima penghargaan, termasuk perkhidmatan pengangkutan yang selesa serta bantuan berterusan daripada pegawai pengiring (Liaison Officer) yang sentiasa memastikan segala keperluan kontinjen dipenuhi.

Dari aspek kebajikan pula, hidangan makanan yang disediakan turut dipuji kerana sesuai dengan cita rasa antarabangsa, tidak terlalu pedas dan disediakan dalam kuantiti mencukupi.

Para peserta turut menyifatkan penyediaan buah-buahan dan minuman secara percuma sebagai satu nilai tambah yang jarang ditemui dalam kejohanan antarabangsa lain.

Majlis perasmian WCWC Ke-10 turut menerima reaksi positif apabila peserta menyifatkannya sebagai ringkas tetapi berimpak tinggi.

Mereka berpandangan kehadiran pembesar negeri serta persembahan yang mengetengahkan identiti tempatan berjaya memberikan nilai tersendiri kepada majlis berkenaan walaupun dilaksanakan secara sederhana dan kos efektif.

Dalam masa sama, perkembangan positif atlet Malaysia turut menjadi perhatian apabila berjaya menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan sekali gus membuktikan kemajuan sukan woodball negara di pentas antarabangsa.

Para peserta turut merakamkan penghargaan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung Diraja serta pelopor pembangunan sukan woodball di Perlis, selain Kerajaan Negeri Perlis yang memainkan peranan penting menjayakan penganjuran kejohanan dunia itu bersama Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang dipimpin Presidennya, Datuk Prof. Emeritus Kamarudin Hussin.

Pengiktirafan daripada komuniti woodball antarabangsa itu membuktikan keupayaan Perlis dan UniMAP menyediakan fasiliti sukan bertaraf dunia serta menganjurkan kejohanan antarabangsa mengikut standard profesional yang tinggi.

Penganjuran WCWC Ke-10 bukan sahaja mengharumkan nama Perlis dan Malaysia di persada sukan dunia, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan woodball, memperkukuh hubungan persahabatan antara negara serta merancakkan sektor pelancongan sukan. Direktoriperniagaan Malaysia

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai antara destinasi berpotensi untuk penganjuran acara sukan antarabangsa pada masa hadapan, berasaskan kekuatan fasiliti moden, pengurusan cekap dan hospitaliti yang mendapat pengiktirafan peserta dari seluruh dunia.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.