Tiga tokoh woodball Perlis terima pingat sempena Hari Keputeraan Raja Perlis

Tiga tokoh woodball Perlis terima pingat sempena Hari Keputeraan Raja Perlis2

ARAU, 31 Julai – Kejayaan Malaysia dan Perlis menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 (WCWC) 2026 terus mendapat pengiktirafan apabila tiga tokoh woodball negara dari Perlis dikurniakan pingat sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kali Ke-3 dan terakhir bagi tahun ini sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis. PanduanPerjalanan & Kisah Perjalanan

Istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Arau pada Khamis itu menyaksikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada atlet kebangsaan, Suhaimi Ahmad dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Turut menerima pengiktirafan ialah Jurulatih merangkap Timbalan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), Mohd Nizar Mohd Shahab dari Majlis Perbandaran Kangar yang dikurniakan Pingat Jasa Bakti (PJB), bersama seorang lagi atlet kebangsaan, Azhar Abdul Wahab, juga dari Majlis Perbandaran Kangar.

Sejurus selesai istiadat berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja PWNPs berkenan menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman sebagai tanda penghargaan atas komitmen Kerajaan Negeri serta pelbagai jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan dalam menjayakan penganjuran WCWC 2026.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF), Persekutuan Woodball Asia (AWBF), Persatuan Woodball Malaysia (MWA), Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UiTM Perlis, para penaja, pembekal perkhidmatan, jabatan-jabatan pendamping serta semua rakan strategik yang berganding bahu memastikan kejohanan bertaraf dunia itu berlangsung dengan cemerlang. Kerajaan

Penghargaan khas turut dizahirkan kepada Presiden PWNPs, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, barisan kepimpinan persatuan, urus setia dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan penganjuran kejohanan berprestij tersebut.

Baginda berharap PWNPs akan terus memperkukuh pembangunan sukan woodball di semua peringkat serta melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengharumkan nama Perlis dan Malaysia di pentas antarabangsa.

Raja Muda Perlis turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan padu yang diberikan, selain berharap kedua-dua kementerian terus menjadi rakan strategik dalam menjayakan program berimpak tinggi di negeri itu pada masa hadapan.

Perlis mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 dan Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-26 yang berlangsung di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra dari 24 hingga 30 Julai lalu.

Pada kedua-dua kejohanan itu, kontinjen Malaysia mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih tujuh pingat emas, 12 pingat perak dan sembilan pingat gangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara kuasa yang semakin disegani dalam sukan woodball di peringkat antarabangsa.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.