Malaysia Raih Tujuh Emas, Perlis Memperkukuh Kedudukan sebagai Hab Woodball Antarabangsa

Malaysia Raih Tujuh Emas, Perlis Memperkukuh Kedudukan sebagai Hab Woodball Antarabangsa

Kangar – Malaysia menutup kempen Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 2026 dan Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-26 dengan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan sebanyak tujuh pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa.

Kejayaan itu diraikan pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah yang disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Dewan 2020, Kangar, pada Rabu malam.

Menerusi titah baginda, sukan mempunyai keupayaan unik untuk menyatukan masyarakat merentasi sempadan, budaya dan bahasa, selain menjadi medium memperkukuh persahabatan, persefahaman serta kerjasama antara negara melalui penganjuran pertandingan antarabangsa.

“Sepanjang kejohanan ini, kita telah menyaksikan standard kesukanan, disiplin, integriti, kecekalan dan sikap saling menghormati yang tertinggi. Nilai-nilai ini mewakili warisan sebenar kejohanan ini,” titah baginda.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Majlis turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YBrs. Tuan Haji Rus’sele Eizan; Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Dato’ Noor Azman Abdul Rahman; Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, YBhg. Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamaruddin Husin, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Kejohanan bertaraf antarabangsa itu dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara International Woodball Federation (IWbF), Asian Woodball Federation (AWBF), Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dengan Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), menghimpunkan lebih 460 atlet dan pegawai dari 14 negara, selain penyertaan enam pasukan negeri.

Pada majlis berkenaan, Raja Perlis turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 yang menyaksikan Indonesia muncul juara keseluruhan, manakala Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara.

Baginda turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-26 yang menampilkan persaingan sengit dalam kalangan atlet tempatan dan antarabangsa.

Penganjuran kedua-dua kejohanan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti woodball antarabangsa, malah memperkukuh kedudukan Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan dan lokasi pilihan bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan woodball negara.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.